SEREMBAN – Penduduk di perumahan Precint 4, Taman Warisan Puteri di sini kini hidup dalam keadaan resah dan bimbang apabila kejadian mendapan tanah berdekatan rumah mereka berulang kembali selepas tiga tahun.
Seorang penduduk, Mohd. Amran Hamid, 64, berkata, lebih merisaukan mendapan kali ini di Jalan A40, Presint 4 itu lebih teruk walaupun kerja-kerja baik pulih telah dilakukan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan pihak berwajib.
Katanya, mendapan tanah sejak Oktober tahun lalu pada mulanya kecil sebelum menjadi lebih teruk dan jarak dari rumahnya hanya 12 meter.
“Pada mulanya, mendapan hanya kecil sahaja, tetapi lama-kelamaan semakin besar dan keadaan menjadi lebih buruk setiap kali hujan. Selepas dua hari MBS ada datang memasang kanvas di sini untuk keselamatan, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan lanjut diambil,” katanya ditemui di Presint 4 Taman Warisan Puteri di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Precinct 4, Ismail Mahat berkata, penduduk berharap tindakan pembaikan mendapan sepanjang kira-kira 80 meter itu dapat dilakukan segera kerana aduan telah pun dibuat kepada MBS pada Disember lalu.
“Saya harap MBS dapat menyiasat kenapa mendapan ini berulang lagi sedangkan kerja-kerja pembaikan telah dilakukan dua tahun lalu melibatkan kos yang besar.
“Adakah ada aliran air di bawah jalan ini menyebabkan kejadian itu berulang atau isu lain dan saya berharap kontrak yang dilantik turun padang untuk melihat sendiri mendapan kali ini yang lebih teruk,” katanya. – KOSMO! ONLINE














