KUALA LUMPUR – Garis panduan penyiaran kandungan grafik asli (raw) oleh organisasi media bakal diputuskan menerusi perbincangan bersama para pemain industri.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu diambil susulan aduan orang ramai yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penyiaran klip video yang tidak disaring sepenuhnya, termasuk rakaman papan pemuka (dashcam).
Menurut beliau, kandungan sedemikian berpotensi memberi kesan kepada penonton, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang masih belum mempunyai kawalan akses sepenuhnya terhadap media sosial.
“Saya akan berhubung dengan Majlis Media Malaysia (MMM) dan Malaysian Press Institute (MPI) untuk mohon kedua-dua entiti ini mengadakan perbincangan segera dengan rakan-rakan media.
“Ia bagi mengenal pasti etika bersesuaian dan seimbang antara pelaporan dengan video yang boleh dianggap ‘agak’ atau terlalu grafik (asli). Jadi (akan diputuskan) pada tahap (mana) sesebuah organisasi media berasa ‘selesa’ (sesuai) untuk menayangkan video atau gambar yang mungkin berlumuran darah atau perkara-perkara seperti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), di sini hari ini.
Fahmi menjelaskan, bagi sektor media kawalan kendiri itu perlu dilaksanakan namun adalah wajar pihak industri diberi peluang untuk berkumpul dan berbincang.
“Jika MCMC menerima aduan, maka akan diambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada. Jadi, ia tidak hanya melibatkan media, yang media itu adalah dari segi pelaporan.
“Tapi jika ada akaun-akaun orang awam yang melanggar sebenarnya panduan komuniti, maka platform terlibat sendiri akan ambil tindakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














