PUTRAJAYA – Konflik Asia Barat yang tercetus susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran dijangka berlarutan lebih panjang selain proses pemulihan bakal mengambil masa lama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jangkaan situasi itu dibuat menerusi perbualan beliau bersama beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
“Dan daripada perbualan saya dengan Presiden Iran, pimpinan negara Teluk, Arab Saudi, Turkiye, Mesir dan juga kunjungan singkat ke Indonesia, semuanya menyatakan keadaan akan lebih parah sebelum dapat dipulihkan, ia tentunya akan mengambil masa lebih panjang.
“Apabila perkara ini berlaku, ia tentunya jejaskan rantaian bekalan global khususnya tenaga dari Malaysia tidak terkecuali,” katanya pada taklimat khas di sini hari ini.
Bagaimanapun, Anwar berkata, Malaysia perlu bersyukur kerana berdepan situasi itu ketika ekonomi stabil, seterusnya mampu menawarkan RON95 pada kadar RM1.99.
“Itu mengejutkan kerana kalau lihat kos dan harga minyak dengan orang terpaksa beratur, ada catuan di negara-negara rantau itu tentunya merimaskan.
“Jadi, bila keadaan ini melegakan sedikit tidak bermakna kita boleh selesa.
“Penyakit mana-mana masyarakat baik keluarga kita atau negara kita, kalau kita agak terlalu selesa dan ambil pandang ringan sahaja, enteng ini akan mungkin mengundang masalah yang lebih berat,” katanya.
Anwar berkata, rakyat juga harus menerima kenyataan bahawa keadaan tidak akan berlaku seperti biasa.
“Kalau keadaan itu mencemaskan, maka kita juga mesti bertindak sesuai dengan tuntutan masa dan kita mesti ikut rancangan kita,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














