fbpx
Wan Rosdy (kanan).

Pahang laksana kerja dari rumah dua hari seminggu mulai minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang mengambil langkah proaktif apabila melaksanakan dasar bekerja dari rumah selama dua hari seminggu secara giliran bagi kakitangannya berkuat kuasa minggu hadapan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu diambil bagi meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat ketika ini.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai cabaran semasa termasuk kesan situasi global yang memberi tekanan kepada kos kehidupan harian.

“Mengambil kira keluh kesah rakyat dan cabaran peningkatan kos sara hidup ketika ini kesan situasi di Timur Tengah, kita mengambil keputusan melaksanakan dasar bekerja dari rumah dua hari seminggu secara giliran bagi kakitangan kerajaan negeri berkuat kuasa minggu hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, pelaksanaan dasar itu dilihat mampu membantu mengurangkan perbelanjaan harian terutama kos perjalanan, kos bahan api, tol, makan minum serta keperluan pengurusan keluarga.

Beliau menegaskan, pelaksanaan dasar bekerja dari rumah dilakukan secara terancang tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Ketua-ketua jabatan dan agensi akan menyelaras pelaksanaan dasar itu mengikut keperluan perkhidmatan dan fungsi jabatan masing-masing. Beliau mengingatkan penjawat awam supaya mengekalkan tahap disiplin dan produktiviti tinggi sepanjang tempoh tersebut.

Beliau turut menggalakkan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan, badan berkanun di Pahang untuk mempertimbangkan pendekatan kerja lebih fleksibel termasuk bekerja dari rumah.

Langkah itu diyakini mampu memberi kelegaan kepada rakyat selain mewujudkan persekitaran kerja lebih seimbang dan responsif terhadap cabaran semasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN