PETALING JAYA – Pusat Perubatan Sunway (SMC) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju penjagaan kesihatan apabila dinobatkan sebagai Hospital Terbaik Malaysia bagi tahun kelima berturut-turut di Healthcare Asia Awards 2026.
Selain itu, hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia itu turut merangkul anugerah Inisiatif Hospital Pintar Terbaik Malaysia, sekali gus mengiktiraf penerapan teknologi digital dalam meningkatkan kecekapan operasi dan kepuasan pesakit.
SMC menerusi satu kenyataan berkata, dengan sokongan lebih 300 pakar perunding tetap merangkumi 80 kepakaran serta 28 pusat kecemerlangan, hospital itu terus menetapkan penanda aras dalam penyampaian rawatan holistik dan multidisiplin, selain menyediakan pelan rawatan yang disesuaikan mengikut keperluan individu pesakit.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Dr Seow Vei Ken berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan hospital dalam mempertingkat penyampaian penjagaan kesihatan melalui kepakaran dan inovasi.
“Pengiktirafan hospital terbaik untuk kali kelima berturut-turut serta anugerah Inisiatif Hospital Pintar adalah bukti kukuh kepada visi kami di SMC.
“la mencerminkan komitmen berterusan kami untuk mempertingkatkan penjagaan kesihatan melalui kecemerlangan klinikal, inovasi dan paling utama, hasil pemulihan pesakit yang lebih baik,” katanya.
Beliau menambah, SMC akan terus memacu integrasi penyelesaian digital terkini bagi mempertingkatkan penyampaian penjagaan dan kepuasan pesakit.
Dalam kenyataan sama, SMC berkongsi antara pencapaian hospitalnya termasuk pengenalan Sistem CT Pengiraan Foton pertama di Malaysia pada 2025.
Selain itu, katanya, SMC mencatat kemajuan dalam pembedahan tulang belakang robotik melalui penggunaan Suite Pembedahan Robotik Tulang Belakang AiBLE™ di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
SMC turut diiktiraf sebagai Hospital Terbaik di Malaysia serta tersenarai dalam kelompok 250 hospital terbaik dunia dalam Anugerah Hospital Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek.
Malah, hospital tersebut menduduki tempat pertama di Asia bagi pembedahan katarak dalam senarai Hospital dan Klinik Swasta Terbaik Asia 2026 oleh organisasi sama, selain mencatat kedudukan tertinggi dalam beberapa bidang oftalmologi dan ortopedik. – KOSMO! ONLINE














