PONTIAN – Taktik seorang lelaki memberi alasan kononnya hanya menghantar wanita menginap di sebuah inap desa tidak menjadi apabila dia dicekup berkhalwat awal pagi semalam.
Dalam operasi pada pukul 2 pagi itu, lelaki berstatus suami orang itu ditahan bersama wanita berstatus janda selepas disyaki berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan di homestay terbabit.
Kehadiran pasangan itu pada awalnya cuba dilindung dengan alasan membantu menghantar wanita tersebut, namun pihak berkuasa menerima aduan mengenai pergerakan mencurigakan di lokasi tersebut.
Jurucakap penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor berkata, pihaknya terpaksa menunggu hampir satu jam sebelum mengambil tindakan memotong mangga jeriji untuk masuk ke dalam premis.
“Siasatan mendapati wanita berusia dalam lingkungan 30-an yang bekerja dan menetap di Pontian itu dan lelaki tersebut bukan mahram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, lelaki itu juga dipercayai mempunyai kaitan dengan pemilikan homestay tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap alasan awal yang diberikan. – KOSMO! ONLINE














