BAGAN DATUK – Seorang lelaki yang hilang ketika sedang melakukan kerja-kerja pemeriksaan kipas bot di dalam sungai di Pelantar B10, Jalan Tepi Sungai, Hutan Melintang, di sini semalam ditemui lemas pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian menimpa mangsa berusia 55 tahun itu pada pukul 4.28 petang semalam.
“Seorang lelaki berbangsa Cina berusia 55 tahun ditemui lemas pada jarak 10 meter dari tempat mangsa dipercayai telah lemas.
“Nelayan itu dikatakan sedang melakukan kerja-kerja pemeriksaan kipas bot dalam air dan mangsa didapati tidak timbul semula ke permukaan air selepas itu,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, setibanya jentera di tempat kejadian, didapati keadaan air berarus deras keadaan cuaca sedang hujan lebat dan menyukarkan untuk melakukan kerja-kerja penyelamatan dilakukan.
Sabarodzi berkata, operasi ditangguhkan sejak pukul 7.15 malam semalam dan anggota membuat pencarian di permukaan sungai sehingga mayat mangsa berjaya ditemui pada pukul 8.07 pagi tadi.
“Setelah pemeriksaan dilakukan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














