KUALA LUMPUR – Tiga lagi ‘ulat foto’ atau jurugambar jalanan yang ditahan semalam di sekitar persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC) dikesan memegang kad pengenalan (MyKad) palsu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, perkara itu dikesan berdasarkan pengesahan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Hasil siasatan ke atas 25 individu yang ditahan semalam, tiga daripada mereka dikesan tiada indentiti berdasarkan semakan cap jari di JPN,” katanya ringkas hari ini.
Sebelum ini, seramai 25 ‘ulat foto’ atau jurugambar haram ditahan polis menerusi operasi khas di sekitar KLCC, sini semalam bagi membantu siasatan berhubung kes rusuhan sebelum ini.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 23 lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang warga Filipina berusia antara 16 hingga 48 tahun.
Terdahulu, polis menahan 18 lelaki disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan dan serangan terhadap dua lelaki hingga mengalami kecederaan di Persiaran KLCC di sini, 22 Mac lalu.
Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu dipercayai berlaku apabila sekumpulan lelaki yang merupakan jurugambar jalanan memukul seorang pelancong lelaki warga India di kawasan hadapan KLCC.
Tiga daripada 18 individu yang ditahan didapati memiliki MyKad palsu dan telah dituduh di mahkamah, hari ini.
Bagaimanapun, ketiga-tiga individu mengaku tidak bersalah dan telah dihantar ke Penjara Sungai Buloh.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE














