KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Datuk Seri Najib Tun Razak membayar ganti rugi berjumlah AS$1.3 bilion kepada SRC International Sdn Bhd berhubung pecah amanah dan salah guna kuasa oleh bekas perdana menteri itu.
Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin memutuskan demikian selepas membenarkan saman sivil yang difailkan syarikat berkenaan terhadap enam individu termasuk Najib.
Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar ganti rugi konspirasi, faedah sebanyak lima peratus setahun, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Dalam penghakiman yang dibacakan selama hampir empat jam itu, Hakim Ahmad Fairuz berkata, mahkamah mendapati defendan sebagai penasihat emeritus syarikat memegang kuasa mutlak dalam setiap keputusan penting membabitkan SRC, bermula daripada penubuhan sehingga usaha menutup penyelewengan.
“Defendan memainkan peranan penting dalam penubuhan SRC sebagai anak syarikat 1MDB pada Januari 2011. Beliau mengarahkan pemindahan pemilikan SRC daripada 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) pada tahun 2012, sekali gus mengeluarkannya daripada pengawasan lembaga 1MDB dan meletakkan SRC secara langsung di bawah kawalannya sebagai Perdana Menteri serta Menteri Kewangan.
“Beliau juga secara peribadi berhubung dengan Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada tahun 2011 sebelum sebarang resolusi rasmi lembaga dibuat dan perbincangan bagi mendapatkan pinjaman pertama, membuktikan bahawa pinjaman itu adalah inisiatif beliau.
“Beliau menyebabkan pindaan perlembagaan syarikat diperkenalkan yang memerlukan kelulusan beliau sendiri sebagai pemegang saham,” katanya hakim itu.
Semasa prosiding peguam yang mewakili SRC selaku plaintif iaitu Datuk Lim Chee Wee manakala defendan diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Dalam pada itu, mahkamah turut berpendapat, tindakan Najib bukan kecuaian atau kesilapan pertimbangan sebaliknya perbuatan penipuan yang disengajakan dan dirancang demi kepentingan diri.
Justeru, katanya, Najib bertanggungjawab sebagai pemegang amanah konstruktif ke atas aset SRC yang diselewengkan melalui penipuannya dan dikehendaki mengembalikan akaun dana terbabit dan keuntungan yang diperoleh.
Mahkamah mendapati defendan bertanggungjawab untuk membayar semula dana syarikat dan pampasan masing-masing AS$1.18 bilion serta AS$120 juta.
Sementara itu, berhubung tuntutan Najib terhadap pihak ketiga membabitkan lima individu iaitu bekas pengarah syarikat SRC International, Datuk Suboh Md Yassin; Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin; Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar; Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail, mahkamah menolaknya.
Mahkamah mendapati bahawa tuntutan itu pada asasnya satu percubaan menggunakan bukti dan hujahan yang sama seperti yang dikemukakan dalam pembelaannya terhadap plaintif, bahawa pihak ketiga yang terdiri daripada Lembaga Pengarah SRC, mengawal operasi SRC dengan tujuan memindahkan liabiliti kepada semua pengarah terbabit.
Mahkamah memutuskan bahawa percubaan itu gagal sama sekali kerana ia tidak dapat diselaraskan secara logik dengan dapatan utama mahkamah bahawa Najib adalah pihak yang mengawal SRC.
Pada 7 Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman AS$1.18 bilion terhadap Najib serta bekas pengarah syarikat itu, Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.
SRC mendakwa Najib yang juga Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019 menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu, selain melakukan penyelewengan.
Najib, 72, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja dan susulan keputusan Lembaga Pengampunan, hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM120 juta kepada RM50 juta pada 29 Januari 2024.
Pada 26 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas Najib dan denda RM11.387 bilion susulan sabitannya dalam kes 1MDB, dengan tempoh penjara bermula sejurus selepas tamat menjalani tempoh penjara semasa. – KOSMO! ONLINE














