fbpx
Mohamed Khaled.

Anggota Malbatt 850-13 diarah henti pergerakan operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Anggota Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 diarahkan untuk tidak melaksanakan sebarang pergerakan operasi sebagai langkah berjaga-jaga susulan situasi keselamatan di Selatan Lubnan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan itu selaras arahan Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) susulan dua insiden berasingan dalam tempoh 24 jam.

Menurutnya, ia termasuk letupan projektil berhampiran Adchit Al Qusayr serta insiden letupan Improvised Explosive Device (IED) yang melibatkan kontinjen Indonesia (Indobatt).

Katanya, insiden-insiden tersebut telah mengorbankan anggota-anggota pengaman serta menyebabkan kecederaan serius kepada beberapa yang lain.

“Kementerian Pertahanan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mendoakan agar anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera.

“Malaysia menegaskan bahawa sebarang serangan terhadap pasukan pengaman adalah pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata, tahap keselamatan turut dipertingkat kepada semua kontinjen di kawasan misi berdasarkan situasi semasa di Selatan Lubnan.

“Langkah ini merangkumi pematuhan berterusan kepada prosedur operasi standard (SOP), pengukuhan Rules of Engagement (ROE), pemberhentian sementara pergerakan rondaan, peningkatan langkah Force Protection serta penilaian situasi secara berterusan bagi memastikan keselamatan anggota MALBATT 850-13 sentiasa terpelihara.

“Pada masa ini, semua anggota MALBATT 850-13 disahkan berada dalam keadaan selamat dan segala penugasan dan pergerakan dilaksanakan secara berhati-hati berdasarkan penilaian situasi semasa serta arahan operasi UNIFIL,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN