fbpx
Muhammad Hafizuddeain (depan) dan Salwani (belakang) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh Amir Khalid/KOSMO!

Kes bekas PTD, isteri ketiga akan dibicarakan bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Semua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram membabitkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri ketiganya, Salwani Anuar @ Kamaruddin akan dibicarakan secara bersama di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, manakala peguam Aizul Rohan Anuar dan Fahmi Abd. Moin masing-masing mewakili Muhammad Hafizuddeai, 58, dan Salwani, 26, tidak membantah.

“Mahkamah membenarkan permohonan dibicarakan bersama dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. Jaminan ke atas kedua-dua tertuduh sebelum ini dikekalkan,” kata Hakim Azura.

Terdahulu, Mahadi memaklumkan, alasan permohonan itu dibicarakan bersama dibuat kerana ia melibatkan saksi dan fakta kes sama selain kesalahan predikat sama.

Pada 22 Januari lalu, Muhammad Hafizuddeain didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menerima wang RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.

Salwani pula didakwa atas empat tuduhan menerima wang RM50,000, RM7,000, RM10,000 dan RM10,000 yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun syarikat di sebuah bank cawangan Damansara Heights, di sini, antara 24 November 2024 hingga 25 November 2025.

Pada 23 Januari pula, Muhammad Hafizuddeain didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua tuduhan menerima wang RM115,000 dan RM30,000 yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank miliknya di Ampang pada 19 September 2024 hingga 19 Mei 2025.

Salwani turut dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 26 Januari lalu atas tuduhan menerima wang RM5,000 yang merupakan hasil aktiviti haram yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN