PETALING JAYA – Penduduk Teluk Panglima Garang dan Jalan Kebun, Klang diminta agar lebih berwaspada susulan dakwaan kemunculan pasangan lelaki dan wanita dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri bungkusan barang.
Menerusi hantaran tular di media sosial @Awinrzk, dia mendakwa kawasan perumahannya didatangi individu disyaki pencuri apabila memuat naik beberapa rakaman rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan kegiatan tersebut.
Menerusi video tersebut, kelihatan pasangan terbabit menaiki skuter berwarna kuning sebelum berhenti di hadapan sebuah rumah. Salah seorang individu berpakaian merah turun dari kenderaan dan memasuki pekarangan rumah.
Seorang lagi individu menunggu di atas skuter. Tidak lama selepas itu, individu tersebut melarikan bungkusan yang berada di kawasan rumah penduduk sebelum beredar.
“Kawasan rumah saya sudah ada pencuri, skuter kuning, laki bini buat kerja haram. Sekitar kawasan Teluk Panglima Garang/Jalan Kebun. Patutlah sejak kebelakangan ini bungkusan kami selalu hilang. Sesiapa yang cam boleh maklumkan. Harap hantaran ini tular,” tulisnya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dengna rata-rata mereka menasihatkan penduduk supaya sentiasa mengunci pagar dan pintu rumah selain memasang sistem keselamatan tambahan.
“Pencuri bungkusan memang sentiasa ada. Jadi jangan biarkan pagar terbuka sebab mengundang kegiatan macam ini,” komen Miz.
“Macam dah lama perhati je ni tengok mana bungkusan yang besar. Agaknya hari-hari tunggu situ,” kata Fadha.
“Macam dah biasa buat tengok gaya dia buat masa orang bekerja dari pukul 10 pagi hingga pukul 12 tengah hari,” komen Irfan. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














