KUALA LUMPUR – Perselisihan berhubung parkir kenderaan membawa padah apabila seorang warga emas cedera selepas diserang jirannya dalam kejadian di Taman Midah, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia awal 60-an pada pukul 11.35 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata kasar sebelum membaling sebatang kayu dan batu ke arah mangsa.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki serta sakit pada anggota badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek dipercayai tidak berpuas hati berhubung isu parkir kenderaan di kawasan berkenaan.
Bertindak atas maklumat, katanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an di tepi Jalan Peel pada pukul 9.30 malam, Rabu lalu.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes jenayah,” ujarnya.
Tambah beliau, suspek direman selama dua hari bermula Khamis lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, manakala siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














