BESUT – Seorang nelayan air tawar maut akibat lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Darau, Pasir Akar, di sini hari ini.
Mangsa, Azmani Mukhtar, 46, dikatakan terkena sawan sewaktu sedang memasang pukat sebelum terjatuh dari botnya pada pukul 9.01 pagi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, nelayan tersebut dikatakan keluar turun ke sungai untuk menangkap ikan pada pukul 7 pagi.
“Mangsa dikatakan terjatuh dari botnya sewaktu sedang memasang pukat sebelum disedari rakan-rakan nelayannya.
“Mereka membantu operasi pencarian sebelum berjaya menemui mayat mangsa pada pukul 10.30 pagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Mohd. Rozaime berkata, mayat Azmani telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut, di sini untuk dibedah siasat.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mengesahkan kematian nelayan itu disebabkan lemas dengan faktor penyakit sawan.
“Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














