ALOR SETAR – Paras takungan di tiga empangan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terus menunjukkan trend penurunan apabila jumlah takungan hari ini direkodkan sebanyak 477,806 ekar kaki atau 39.07 peratus.
Jumlah itu menurun berbanding 484,725 ekar kaki atau 39.63 peratus yang direkodkan lima hari lalu.
Berdasarkan data di laman web rasmi MADA, Empangan Muda mencatatkan jumlah takungan paling rendah iaitu 9,700 ekar kaki (7.76 peratus) berbanding 10,550 ekar kaki (8.44 peratus) pada 23 Mac lalu.
Sementara itu, Empangan Pedu merekodkan takungan 347,420 ekar kaki (39.71 peratus) berbanding 352,480 ekar kaki (40.28 peratus), manakala Empangan Ahning kini berada pada kadar 120,686 ekar kaki (54.12 peratus) berbanding 121,695 ekar kaki (54.57 peratus).
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keadaan cuaca panas yang melanda negeri ini ketika ini agak membimbangkan apabila paras air di beberapa empangan menunjukkan penurunan ketara.
“Paras air di empangan kita semakin surut, sama seperti tahun lalu yang mana ketika saya ke Gubir sebelum ini, keadaan hanya tinggal aliran sungai sahaja, takungan sudah tiada.
“Saya melihat fenomena tahun lepas berulang tahun ini. Justeru, saya berharap agensi berkaitan dapat memberi perhatian serta mengambil langkah sewajarnya dengan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perkara ini memang telah tersedia,” katanya.
Menurut beliau, antara langkah yang boleh dilaksanakan termasuk pembenihan awan bagi meningkatkan paras takungan empangan.
“Tahun lalu kita melaksanakan pembenihan awan melalui Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dengan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di ruang udara Empangan Gubir.
“Alhamdulillah, selepas itu berlaku hujan dan MADA juga turut membantu. Jadi ini antara inisiatif yang boleh diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun paras air empangan semakin menyusut, keadaan air di sungai utama di negeri ini masih berada pada tahap memuaskan.
“Air di sungai-sungai kita masih penuh, antaranya Sungai Kedah di belakang Seri Mentaloon. Cuma yang membimbangkan adalah paras air di empangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, musim menuai padi ketika ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan penggunaan air dalam sektor pertanian.
“Alhamdulillah sekarang musim menuai, bukan musim menabur, jadi penggunaan air adalah lebih rendah. Malah keadaan petak sawah yang kering memudahkan kerja penuaian dan mesin juga tidak tersangkut,” katanya.
Tambahnya, fenomena cuaca panas yang berlaku ketika ini sukar diramal apabila daerah Padang Terap dan Sik direkodkan sebagai kawasan paling panas walaupun terletak di kawasan berbukit dan hutan.
“Kawasan yang kurang pokok pula tidak sepanas itu. Cuaca ini sememangnya tidak menentu dan segala ketentuan adalah daripada Allah SWT. Kita berharap diberikan yang terbaik serta dipermudahkan segala urusan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














