KUALA LUMPUR – Tindakan sambil lewa pemilik dan pemandu sebuah kereta mewah membawa padah apabila kenderaan itu sekali lagi ditahan pihak berkuasa dalam tempoh kurang sebulan atas kesalahan sama.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, kereta jenis Ford Mustang tersebut dikesan masih menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans sah.
Menurutnya, kenderaan sama sebelum ini pernah dikenakan tindakan oleh Polis Diraja Malaysia atas kesalahan serupa.
“Pemeriksaan yang dijalankan di pusat bandar semalam mendapati pemandunya, seorang lelaki berusia 27 tahun.
“Lelaki yang turut memandu dengan lesen tamat tempoh itu memaklumkan dia dalam perjalanan pulang ke rumah ketika ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut oleh pihaknya mendapati kenderaan itu bukan milik pemandu itu.
“Kereta berkenaan dimiliki individu lain yang mendakwa sedang dalam proses mendapatkan sebut harga bagi memperbaharui LKM.
“Susulan kesalahan itu, kenderaan terbabit telah disita bagi tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan JPJ Kuala Lumpur akan terus mempergiat pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE














