PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melakar pencapaian memberangsangkan dalam tempoh 100 hari kepimpinan Steven Sim Chee Keong melalui 14 lonjakan utama bagi misi hebatkan perniagaan di Malaysia.
Kuskop dalam satu kenyataan berkata, pencapaian tersebut merangkumi dana pembiayaan Bumiputera di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun Nasional) daripada RM300 juta kepada RM500 juta.
“Peruntukan RM254 juta bagi memperkasa gerakan koperasi nasional yang merupakan nilai tertinggi dalam sejarah.
“Selain itu, rekayasa Kuskop turut melibatkan pengurangan proses kerja serta penurunan kadar faedah dan fi yang tidak diperlukan bagi memudahkan urusan para peniaga,” katanya menerusi kenyataan itu.
Langkah ini juga termasuklah penyediaan Dana Ekonomi Usahawan Wanita (Dewi) bernilai RM3 billion yang menyasarkan seramai 300,000 usahawan wanita di seluruh negara serta skim pembiayaan BARAKAT bernilai RM50 juta khusus untuk PMKS Bumiputera sempena Ramadan.
Dalam pada itu, kementerian berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM90 juta menerusi penyertaan dalam Japan Foodex serta memeterai perjanjian perniagaan bernilai RM2 bilion melalui Makkah Halal Forum 2026.
“Kerjasama dengan TikTok Shop memperkasa lebih 3,000 usahawan PMKS, dengan 700 mencatat jualan lebih Rm28 juta, selain merancang pengembangan TikTok Shop Live Hub ke Pahang dan Pulau Pinang,” jelas beliau.
Tambahnya, inisiatif SKM Business School juga diperkenalkan bagi menjadikan koperasi sekolah sebagai platform ‘Sekolah Perniagaan’ untuk memupuk minat keusahawanan dalam kalangan pelajar.
Tindakan ini turut diberikan kepada PMKS pelbagai kaum melalui skim pembiayaan baru Rm100 juta di bawah SME Bank dan Bank Rakyat untuk kaum cina dan peningkatan dana SPUMI bagi usahawan India kepada RM50 juta.
Inisiatif PowerUP10k juga diperkenalkan dengan visi yang menyasarkan peningkatan kapasiti dan keupayaan bagi 10,000 syarikat Malaysia. – KOSMO! ONLINE














