fbpx
Speedy Tigers ‘lulus ujian’ pertama tahun ini dengan menyambar slot Piala Dunia 2026 walaupun menerusi cara tidak memberangsangkan, atas tiket kelebihan ranking dunia.

‘Jalan terakhir’ demi masa depan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELANTIKAN Brendon Carolan menggantikan Sarjit Singh sebagai ketua jurulatih baharu skuad hoki lelaki kebangsaan baru-baru ini boleh dianggap satu keputusan yang amat mengejutkan.

Bagi MHC, ia adalah satu langkah berani yang perlu diambil bagi memastikan Speedy Tigers mampu bersaing sengit dengan pasukan-pasukan handalan pada tiga kejohanan utama tahun ini.

Speedy Tigers ‘lulus ujian’ pertama tahun ini dengan menyambar slot Piala Dunia 2026 walaupun menerusi cara tidak memberangsangkan, atas tiket kelebihan ranking dunia.

Ia mungkin menjadi salah satu faktor MHC mengambil tindakan drastik tidak menyambung kontrak Sarjit yang berakhir pada Disember tahun lalu.

Prestasi yang ditunjukkan sepanjang kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir bulan lalu menyaksikan Speedy Tigers masih banyak ‘kerja rumah’ perlu dilakukan jika tidak mahu keputusan sama berulang.

Ada yang mengatakan MHC menekan butang panik apabila menggantikan Sarjit dengan Carolan, namun ada juga sebahagian peminat merasakan ia adalah jalan terakhir perlu dilakukan agar ia tidak lebih ‘melarat.

Kini, tugas berat menanti Carolan untuk memulihkan semula reputasi Speedy Tigers yang boleh dikatakan agak tercalar apabila jatuh ke tangga ke-15 dunia.

Saingan Piala Negara-Negara FIH 2026 di Cape Town, Afrika Selatan dari 15 hingga 21 Jun nanti menjadi ujian pertama buat Carolan.

Selepas itu, beliau perlu menyediakan skuad terbaik kerana Malaysia diundi dalam ‘kumpulan maut’ bersama dua juara dunia, Belgium dan Jerman serta Perancis di Piala Dunia 2026 dari 14 hingga 30 Ogos depan.

Dua kejohanan itu amat penting kerana kemenangan atau persembahan positif mampu menaikkan moral serta semangat barisan pemain untuk menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya di Jepun bermula 19 September hingga 4 Oktober.

Jika sebaliknya berlaku, masalah besar bakal dihadapi oleh pengendali dari Afrika Selatan itu kerana sasaran utama MHC adalah menjuarai Sukan Asia Aichi-Nagoya.

Pingat emas akan melayakkan Malaysia secara automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, sekali gus menamatkan penantian 26 tahun sejak kali terakhir beraksi pada edisi Sydney 2000.

Walaupun baru sahaja dilantik tetapi Carolan boleh dikatakan sudah kesuntukan masa untuk menyiapkan barisan terbaik yang benar-benar mampu merealisasikan segala sasaran berkenaan.

Mungkin Carolan dan barisan kejurulatihannya boleh menjadikan saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2026 yang akan berlangsung bulan depan sebagai pentas mencari pemain-pemain baharu.

Sama ada muka lama atau pemain muda, kem skuad hoki lelaki negara perlu diperbesarkan untuk memudahkan mereka mengenal pasti barisan 18 terbaik ke setiap kejohanan penting tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN