fbpx
WAKTU bergulir, Rosyam kini kian merasai pengalaman menjadi seorang datuk di samping cucu-cucu tersayang di kediamannya sempena raya.

‘Saya rasa macam king, herolah tapi versi otai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHADIRAN Syawal menjanjikan seribu satu kemanisan buat umat Islam. Namun, bagi pelakon Datuk Rosyam Nor, sambutan Aidilfitri kali ini membawa dimensi rasa yang lebih mendalam dan penuh kesyahduan.

Bagi Rosyam, raya bukan sekadar tentang kemeriahan berbaju baharu atau menjamah juadah enak, sebaliknya fasa refleksi untuk mengenang insan-insan tersayang yang pergi meninggalkan kita.

Suasana pagi raya yang sering menyelubungi sanubari dengan rasa rindu membuatkan detik berkumpul bersama sanak saudara menjadi sangat bernilai memandangkan berpeluang untuk bertatap muka amatlah terhad.

Rosyam atau nama lengkapnya Mohamed Nor Shamsuddin mengakui perasaan sedih sering menyelubungi apabila menyedari wujudnya ‘kekosongan’ dalam kalangan ahli keluarga berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Raya yang penting adalah kita harus mengenang mereka yang telah pergi. Bukanlah semasa raya sahaja tapi waktu ini rasanya lebih syahdu.

“Biasanya hari raya adalah hari berkumpul jumpa sanak saudara kerana setahun sekali pun susah jumpa.

“Bila dah jumpa sanak saudara, kita tengok orang yang dulu tahun lepas ada, tiba-tiba tahun ini dah tiada. Rasa sedihlahkan,” katanya kepada HibGlam.

Sebagai ketua keluarga, pelakon berusia 59 tahun itu kini menggalas tanggungjawab menyediakan persiapan lengkap termasuk menghias rumah demi menantikan kepulangan anak-anak dan cucu-cucu tersayang.

Jika dahulu dia yang akan pulang ke kampung halaman keluarga atau mentua, kini keadaan sudah berubah apabila kediamannya menjadi pusat tumpuan keluarga.

“Sebagai ketua keluarga, persiapan adalah siapkan apa yang patut seperti menghias rumah.

“Dah biasa buat supaya menantikan anak-anak dan cucu-cucu pulang ke rumah saya. kalau dulu saya yang pulang ke rumah mak atau mentua.

“Tapi kali ini, saya pula menantikan kehadiran mereka berkumpul ramai-ramai di rumah,” katanya lagi.

Cucu penghibur

Menariknya, bintang filem KL Menjerit itu menyifatkan kehadiran cucu-cucu sebagai penghibur hati dan ‘ubat’ kepada kerinduan masa mudanya yang terlalu sibuk mengejar kerjaya sehingga tidak sempat memanjakan anak-anak sendiri secara berlebihan.

“Kehadiran cucu ini sebenarnya lebih menggembirakan sebab kebanyakan orang seusia saya, masa muda terlalu sibuk mencari nafkah, kerjaya dan tak berpeluang dapat manja lebih-lebih dengan anak.

“Sudah semestinya, cucu menjadi penghibur orang yang dah berumur macam saya. Bila sekarang dah berumur macam ini, ada masa terluang, cucu-cucu lah sebenarnya mengimbau penyesalan lampau,” katanya lagi.

Dia bagaimanapun memilih untuk melayani keenam-enam cucunya sama rata memandangkan bilangan lelaki dalam rumahnya lebih sedikit berbanding wanita.

“Saya manjakan semua cucu saya sebab mereka berebut-rebut nak dekat dengan saya sebab rumah ramai perempuan.

“Bagi mereka, perempuan itu dah biasa tapi atuk satunya saja.  Jadi, saya rasa macam king (raja), herolah tapi versi otai,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN