KUALA PILAH – Mayat bayi cukup sifat serta masih bertali pusat ditemukan di kawasan pencawang berhampiran Masjid Rembang Panas, di sini, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Shamrol Shah Ramli berkata, maklumat berhubung penemuan mayat bayi itu diterima kira-kira pukul 6.30 petang daripada seorang lelaki tempatan melalui panggilan telefon.
“Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat kira-kira pukul 6.54 petang untuk tindakan lanjut. Sepasukan pegawai dan anggota polis dari IPD Kuala Pilah bersama Bahagian Forensik D10 IPK Negeri Sembilan telah hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mayat tersebut adalah seorang bayi lelaki dalam keadaan cukup sifat dan masih bertali pusat. Pemeriksaan lanjut mendapati bayi telah meninggal dunia dianggarkan lebih kurang dua hari dan mula mengalami proses reput.
“Pemeriksaan fizikal tidak menemui sebarang kesan kecederaan luaran. Identiti bayi masih belum dikenal pasti dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE














