PETALING JAYA – Penyanyi Fyna Jebat mengejutkan ramai apabila mendedahkan ‘disimpan’ selama empat tahun oleh seorang individu yang tidak didedahkan identitinya.
Menurut Fyna, 31, perkara tersebut dikongsi secara terbuka selepas mendakwa dia sudah lama berdiam diri.
“Aku rasa sudah lama berdiam diri. Kawan aku hubungi nak beri duit raya, mula kau meroyan sampai campak telefon aku?
“Terpaling tersakiti kau ya, asal gaduh, cakap nak berlawan. Habis itu kau nak aku buka buku kau ke macam mana?
“Kau salah orang nak lawan, empat tahun simpan aku. Kau fikir balik apa kau buat pada aku dan anak aku yang nak masuk dua tahun umur dia,” katanya dalam InstaStory hari ini.
Adik kepada penyanyi Ayda Jebat itu juga memberi amaran kepada individu berkenaan bahawa dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung isu tersebut.
“Macam kau tiada kawan perempuan dan terpaling suci. Kalau kau rasa terpaling suci, pergi jujur pada isteri kau.
“Sampai bila pula hidup aku nak jadi simpanan. Sampai anak aku 20 tahun ke nak simpan?
“Kali ini tiada muka dah untuk kau ya. Sila hadirkan diri ke mahkamah pada bulan empat (April) ya. Jangan rasa terpaling suci sampai terlupa adil,” katanya lagi.
Dia bagaimanapun tidak menyatakan terperinci tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap individu terbabit.
Terdahulu, Fyna bergelar isteri kedua kepada bekas jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan pada awal tahun 2023.
Jodoh tidak panjang, pada Ogos tahun sama, Fyna mengesahkan pernikahannya dengan personaliti sukan popular berkenaan sudah terlerai yang dipercayai tiga bulan sebelum itu. – KOSMO! ONLINE













