fbpx
Muhammad Hanif mencium bayinya, Muhammad Mateen Aryan berusia sembilan bulan yang menghidap penyakit hidrosefalus.

[VIDEO] Usia 9 bulan, berat kepala Mateen hampir 20kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang bayi berusia sembilan bulan, Muhammad Mateen Aryan Muhammad Hanif berdepan ujian hebat apabila berat kepalanya kini mence­cah 20 kilogram (kg).

Penyakit hidrosefalus atau lebihan cecair dalam kepala yang dihidapi Muhammad Mateen itu menyebabkan bahagian tersebut terus membesar mencecah ukur lilit 90 sentimeter.

Bapanya, Muhammad Hanif Zakaria, 32, berkata, penyakit itu dikesan ketika bayinya berusia enam bulan dalam kandungan sebelum doktor menyarankan isterinya, Habidah Nasruddin, 31, menggugurkan kandungan tersebut.

“Doktor beritahu jangka hayat Mateen selepas lahir hanya dua minggu hingga dua bulan dan menyarankan supaya ia digugurkan. Memandangkan usia kan­dungan sudah enam bulan, kami memutuskan untuk melahirkan Mateen,” katanya.

Muhammad Hanif yang be­kerja sebagai pemandu lori bersyukur kerana anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak pernah menangis kesakitan sejak lahir.

Pasangan itu bagaimanapun berdepan kesukaran mengangkat Mateen disebabkan kepalanya yang makin membesar.

“Makan minum Mateen tiada masalah, cuma sekarang susah sedikit hendak angkat sebab kepalanya makin besar. Hendak memandikan Mateen pun isteri perlu tunggu saya balik sebab dia tidak berdaya nak angkat.

Muhammad Hanif mendukung Muhammad Mateen Aryan yang menghidap hidrosefalus yang menyebabkan kepala bayi itu membesar.

“Lagipun hanya saya seorang yang tahu cara untuk mengendalikan Mateen memandangkan ada bahagian kepalanya yang sangat lembut dan perlu diberikan lebih perhatian,” ujarnya.

Mengenai rawatan Mateen, lelaki itu berkata, doktor memaklumkan pembedahan ke atas Mateen sangat berisiko jadi mereka menolak.

“Pemeriksaan susulan tetap diteruskan seperti biasa di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Selepas raya ini insya-Allah kami cuba akan cuba mencari alternatif lain,” ujarnya.

Ditanya mengenai cabaran dalam membesarkan Mateen, katanya, selain kepala bayinya yang semakin berat, anak sulungnya, Muhammad Yusoff Aryan, 8, turut diejek sehingga menyebabkan kanak-kanak itu enggan ke sekolah.

“Saya terpaksa pujuk dia dan beritahu perkara itu kepada guru-guru. Saya bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan dan semangat terutama orang ramai yang sentiasa mengikuti perkembangan Mateen di media sosial,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank CIMB bernombor 7632966954 atas nama Muhammad Hanif. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN