KUALA LUMPUR – Dua lelaki dilaporkan cedera di kepala selepas didakwa dipukul sekumpulan individu dipercayai jurugambar haram dalam kejadian di sekitar KLCC, pada malam Ahad lalu.
Perkara itu didedahkan pempengaruh yang juga bekas guru, Mohd Fadli Salleh menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila kumpulan berkenaan yang dianggarkan berpuluh orang terlibat dalam pergaduhan dengan pelancong asing sehingga berlaku insiden pukul.
Katanya, seorang peniaga air balang yang kebetulan berada di lokasi cuba meleraikan pergaduhan, namun turut menjadi mangsa apabila diserang beramai-ramai oleh kumpulan tersebut.
“Dua mangsa mengalami kecederaan di kepala, seorang menerima tujuh jahitan manakala seorang lagi dua jahitan. Mereka dipercayai diserang dari belakang. Balang air milik peniaga itu turut dipecahkan dalam kejadian berkenaan,” katanya.
Tambahnya, laporan polis telah dibuat dan tindakan lanjut sedang diambil.
Sementara itu, beliau mendakwa isu jurugambar haram di sekitar KLCC bukan perkara baharu apabila aduan mengenainya sering dibangkitkan sebelum ini.
Beliau berharap pihak berkuasa termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan polis dapat mengambil tindakan lebih tegas bagi membanteras kegiatan tersebut yang disifatkan mencemarkan imej negara.
Kosmo! ketika ini sedang mendapatkan pengesahan polis. – KOSMO! ONLINE














