Dalam usaha mencungkil bakat muda, Esports Putrajaya menggunakan pendekatan ‘Grassroots to Pro’.

Visi jadikan Putrajaya sebagai ‘Smart Esports City’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Industri e-sukan di Malaysia semakin berkembang pesat, didorong oleh usaha bersepadu pelbagai pihak dalam membina ekosistem yang lebih tersusun dan berdaya saing.

Di Putrajaya, peranan ini digalas oleh Persatuan Sukan Elektronik Putrajaya (Esports Putrajaya) yang giat memperkasa bakat serta membuka peluang dalam industri digital.

Menurut Setiausaha Agungnya, Azzarizal Mohd. Zainol, penubuhan persatuan ini bukan sekadar menyahut aspirasi sukan moden, malah menjadi platform penting dalam pembangunan modal insan.

Menurut Azzarizal, Esports Putrajaya telah disahkan pendaftarannya pada 1 Julai 2015 di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 dan merupakan ahli gabungan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF).

“Penubuhan ini selaras dengan seruan kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan untuk menjadikan sukan sebagai pemangkin pembangunan belia dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Kami berperanan sebagai pengelola e-sukan di Putrajaya dengan matlamat membangun, menggalak dan mempromosi e-sukan di semua peringkat,” katanya.

Dalam usaha mencungkil bakat muda, menurut Azzarizal, pihaknya menggunakan pendekatan ‘Grassroots to Pro’.

Industri e-sukan bukan sekadar permainan, tetapi memerlukan disiplin tinggi, pemikiran strategik dan kerja berpasukan.

Bakat dikenal pasti melalui kejohanan komuniti dan liga tempatan sebelum diserap ke dalam program latihan yang lebih menyeluruh.

“Latihan bukan hanya tertumpu kepada kemahiran teknikal, tetapi turut melibatkan disiplin, kecergasan mental dan pengurusan masa,” jelasnya.

Mengulas pencapaian atlet, Azzarizal berkata, antara kejayaan terbesar persatuan itu setakat ini adalah penglibatan atlet Tekken 8, Muhammad Aman Sofee Mohd. Zahari (MZHR) di Kejohanan BRICS Esports Championship 2025 di Moscow, Rusia.

“Dia berjaya menduduki tempat ke-9 daripada 30 peserta, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Berkongsi visi jangka panjang persatuan, Azzarizal berkata, Esports Putrajaya menyasarkan untuk mentransformasikan wilayah itu sebagai sebuah ‘Smart Esports City’.

Katanya, visi ini berpaksikan pembangunan bakat secara holistik serta penyediaan fasiliti berteknologi tinggi.

“Pada masa sama, kami mahu memacu ekonomi digital melalui penganjuran acara e-sukan bertaraf dunia,” ujarnya.

Namun begitu, Azzarizal tidak menafikan wujudnya beberapa cabaran dalam membangunkan e-sukan di Putrajaya, apabila struktur pentadbiran yang unik tanpa kewujudan Jabatan Belia dan Sukan Negeri menjadi antara

kekangan utama yang telah mewujudkan cabaran dari segi koordinasi dan penyaluran sokongan.

Selain itu, dia turut menyentuh kekurangan fasiliti latihan khusus serta cabaran mendapatkan penajaan berterusan bagi program pembangunan jangka panjang.

Dalam konteks pembangunan di peringkat akar umbi, menurut Azzarizal, inisiatif rasmi di sekolah masih dalam peringkat perbincangan antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan pemegang taruh industri.

Azzarizal (kanan) antara yang menunjangi Esports Putrajaya.

Bagaimanapun, beberapa program tidak rasmi telah dijalankan bersama PIBG sekolah di wilayah itu.

“Kami juga merancang program ‘Esports Goes to School’ dan kini menunggu kelulusan pihak kementerian.

“Kerjasama dengan pihak swasta turut dilaksanakan bagi menganjurkan liga e-sukan di peringkat sekolah menengah dan universiti,” katanya.

Menyentuh peluang kerjaya, Azzarizal menegaskan bahawa industri e-sukan tidak terhad kepada pemain profesional sahaja kerana terdapat pelbagai peranan lain seperti pengulas dan hos, penganjur acara, pengurus pasukan serta penganalisis data.

“Selain itu, penerbit kandungan digital, penstrim, pembangun permainan dan pereka grafik juga memainkan peranan penting dalam ekosistem ini,” katanya.

Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang pula, industri ini dijangka dipacu oleh perkembangan teknologi seperti realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR) dan kecerdasan buatan (AI).

Azzarizal berkata, teknologi ini bukan sahaja mengubah cara permainan dimainkan, tetapi juga meningkatkan pengalaman penonton.

“Pada masa sama, kita akan melihat peningkatan penyertaan wanita dalam e-sukan, sekali gus menjadikan industri ini lebih inklusif,” ujarnya.

Mengulas persepsi ibu bapa terhadap industri itu, Azzarizal berkata, masih ramai ibu bapa yang melihat e-sukan sekadar permainan.

Namun, dia menyifatkan industri itu sebenarnya memerlukan disiplin tinggi, pemikiran strategik dan kerja berpasukan.

“Dengan pemantauan dan sokongan yang betul, e-sukan mampu menjadi kerjaya yang stabil dan berpotensi besar,” katanya.

Sebagai penutup, menurut Azzarizal, penglibatan belia dalam e-sukan mampu membawa perubahan positif yang menyeluruh.

Selain membina kemahiran insaniah seperti pemikiran kritikal, kepimpinan dan ketahanan mental, ia juga membuka peluang kerjaya dalam ekonomi digital.

“Apa yang penting adalah membentuk budaya permainan yang sihat, berdisiplin dan seimbang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN