fbpx
Syed Norulzaman (dua dari kiri) bersama Noor Hashim (kiri) pada majlis penyampaian sumbangan Mah Sing Foundation kepada Pusat Pembedahan Katarak MAIWP - Hospital Selayang di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mah Sing Foundation sumbang RM105,000 sokong pembedahan katarak kepada pesakit B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA –   Mah Sing Foundation mengukuhkan lagi kerjasamanya dengan Pusat Pembedahan Katarak MAIWP-Hospital Selayang dengan menyumbang lebih daripada 400 lensa intraokular bernilai RM105,000 menyokong pembedahan katarak untuk pesakit B40 di seluruh negara.

Pengerusi yayasan tersebut, Datuk Syed Norulzaman bin Syed Kamarulzaman berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Yayasan dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat melalui aspek kesihatan.

“Akses kepada pembedahan katarak bukan sekadar rawatan, tetapi membuka peluang kepada pesakit untuk kembali menjalani kehidupan dengan lebih baik iaitu termasuk bekerja, menjaga keluarga dan menyumbang kepada masyarakat.

“Ini selaras dengan aspirasi kami untuk membawa perubahan yang bermakna dan berkekalan kepada komuniti yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, yayasan tersebut sebelum ini begitu aktif melaksanakan pelbagai inisiatif kesihatan seperti pemberian cermin mata percuma kepada pelajar, saringan kesihatan serta program bantuan makanan dan kesejahteraan.

 

Pusat Pembedahan Katarak MAIWP – Hospital Selayang telah ditubuhkan sejak bulan Disember 2012 dan memainkan peranan penting dengan melaksanakan lebih 35,000 pembedahan katarak, iaitu kira-kira lima peratus daripada jumlah keseluruhan pembedahan katarak di fasiliti Kementerian Kesihatan di seluruh negara.

Sebagai pusat pembedahan berkecekapan tinggi, ia mampu menjalankan antara 20 hingga 30 pembedahan setiap hari, sekali gus membantu mempercepatkan rawatan pesakit dan mengurangkan tempoh menunggu. 

Selain itu, Ahli Pemegang Amanah Mah Sing Foundation, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjelaskan, program ini selari dengan keutamaan dalam sistem kesihatan negara.

“Kerjasama strategik seperti ini membolehkan akses kepada rawatan diperluaskan, khususnya kepada golongan yang kurang berkemampuan, di samping memperkukuh sistem kesihatan secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Selayang (Perubatan II), Dr Mohd Fadzli Arifin memaklumkan, sejak penubuhan pusat tersebut, pihaknya  telah melaksanakan lebih 35,000 pembedahan dan inisiatif  tersebut membantu mengurangkan kesesakan hospital serta memendekkan tempoh menunggu sehingga 50 peratus

“Pusat ini menawarkan kemudahan sehenti yang mana  pesakit menerima rawatan lengkap seperti konsultasi, pembedahan, ubat-ubatan dan penjagaan susulan di satu lokasi.

“Ini menjadikan pengalaman pesakit lebih selesa dan teratur,” jelas beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa lebih 90 peratus pesakit tanpa komplikasi lain mencapai tahap penglihatan yang baik dalam tempoh tiga bulan selepas pembedahan, sekali gus membuktikan keberkesanan rawatan yang diberikan.

Lensa yang disumbangkan akan digunakan di pusat tersebut serta diagihkan ke hospital lain di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, bagi memastikan lebih ramai pesakit mendapat rawatan tanpa perlu menanggung kos dan perjalanan yang tinggi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI