TEL AVIV – Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah kilang penapisan minyak di pelabuhan Haifa, Israel, namun ia tidak menyebabkan kerosakan yang ketara, lapor portal berita Arab News.
Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen berkata, serangan itu menyebabkan bekalan elektrik terputus seketika, namun sebahagian besar penduduk yang terjejas telah menerima semula bekalan elektrik.
“Kerosakan pada grid kuasa di utara adalah setempat dan tidak signifikan. Selain itu, dalam serangan ke arah utara, tiada kerosakan ketara pada tapak infrastruktur Israel,” kata Cohen.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyasarkan kilang penapisan minyak di Haifa, bandar ketiga terbesar Israel dan di Ashdod, bersama dengan pelbagai sasaran keselamatan serta pusat sokongan rejim Zionis yang dibedil peluru berpandu.
Tiada maklumat segera sama ada kilang penapisan Ashdod turut terjejas.
Kementerian Perlindungan Alam Sekitar Israel berkata, serpihan daripada peluru berpandu yang dipintas jatuh di Haifa dan sedang diperiksa kerana dianggap sebagai insiden bahan berbahaya.
Syarikat Israel Electric Corp. berkata, talian kuasa di kawasan Haifa terkena serpihan, menyebabkan gangguan bekalan elektrik sementara tetapi ia dipulihkan masa kira-kira 45 minit.
Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Israel melaporkan bahawa serpihan jatuh di dua lokasi berbeza di kilang penapisan minyak dan mencetuskan kebakaran yang memutuskan sumber bekalan tetapi tiada kemalangan jiwa.
“Kawalan penuh telah dicapai ke atas impak insiden di kilang penapisan Haifa. Ujian yang dijalankan oleh pasukan pemantauan mendapati tiada nilai udara yang tidak normal dan tiada bahaya kepada orang ramai,” tambahnya. – AGENSI














