fbpx
AZIZULHASNI membuktikan kudratnya masih utuh untuk kekal bersaing dalam perlumbaan kompetitif.

Luar biasa ‘seorang’ Azizulhasni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ketika beliau sebelum ini disahkan mengalami radang jantung yang jarang ditemui anomalous aortic origin of right coronary artery (AAORCA) pada 2022, ramai yang berpendapat itu adalah pengakhiran kariernya.

Bagaimanapun, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang membuktikan patah asa dan putus semangat bukanlah DNA dirinya apabila hanya meminta ruang untuk berehat seketika dan menjalani pembedahan tanpa memberi bayangan bakal meninggalkan veledrom.

Selepas memenangi gangsa di Sukan Olimpik Rio 2016 dan perak pada temasya sama di Jepun 2020, ramai yang faham mengapa atlet dengan gelaran The Pocket Rocketman itu belum sedia untuk mengalah.

Sasarannya adalah Paris 2024, pingat emas mesti diburu, bukan sekadar misi melengkapkan kilauan pingat Olimpik, tetapi menyempurnakan impian seluruh rakyat Malaysia menggenggam emas pertama temasya sukan paling berprestij.

Namun, takdir tuhan mengatasi segala perancangan apabila dia dibatalkan penyertaan pada pusingan pertama acara keirin gara-gara memotong pacer menyebabkan impian besar itu berkubur.

Kegagalan itu sekali lagi dilihat sebagai penamat kerjaya buat anak jati Dungun, Terengganu itu apabila usianya ketika itu sudah 36 tahun dan edisi seterusnya empat tahun lagi di Los Angeles 2028 dianggap sebagai tidak realistik untuknya beraksi.

Selepas hilang seketika daripada radar dan tidak mengambil bahagian dalam beberapa kejohanan, Azizulhasni muncul pada 2026 dengan pencapaian yang mengejutkan pada saingan Piala Dunia UCI di Perth, awal bulan ini dengan meraih pingat emas menerusi acara keirin dan membawa pulang gangsa untuk acara pecut.

Menerusi kudrat usia 38 tahun, Azizulhasni bukan sahaja mengejutkan peminat basikal trek seluruh dunia apabila membuktikan dia kekal kompetitif, tetapi pada pentas final acara tersebut dia berjaya menewaskan dua lagi pelumba handalan, Matthew Richardson dan Leigh Hoffmann yang jauh lebih muda apabila masing-masing berusia 26 dan 25 tahun.

Kejayaan itu menyaksikan dia secara tidak langsung memintas pencapaian legenda basikal trek dunia, Chris Hoy yang kali terakhir memenangi pingat ketika berusia 37 tahun sebelum bersara dan Azizulhasni muncul pelumba paling tua memenangi gelaran setakat ini.

Prestasi yang dipamerkan di Perth itu mengembalikan semula keyakinan para peminat bahawa kehebatan ‘seorang’ Azizulhasni masih belum hilang dan kembali menggalas harapan besar kontinjen negara menjelang dua temasya sukan besar tahun ini iaitu Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Aichi-Nagoya tahun ini.

Biarpun masih berteka-teki mengenai kemunculannya untuk edisi keempat pentas Olimpik kira-kira dua tahun lagi di LA2028, sekiranya Azizulhasni masih mampu mengekalkan tahap kecergasan dan prestasi, tidak ada yang mustahil.

Beraksi di pentas Olimpik pada usia 40 tahun mungkin ajaib bagi atlet lain, namun ia tidak buat Azizulhasni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN