SELEPAS hampir lima tahun menganjurkan pakej memancing di Sungai Kejar, Royal Belum, Tasik Banding, Perak, Marzuadi Mansor atau dikenali dalam kalangan pemancing sebagai Keciq boleh dianggap sebagai ‘orang lama’ di kawasan tersebut.
Apa tidaknya, sepanjang tempoh tersebut, dia telah menganjur dan mengikuti puluhan trip memancing ke Sungai Kejar. Pemancing yang mengikuti trip anjurannya datang dari seluruh negara.
Pengalaman luasnya membolehkan dia tahu lubuk-lubuk yang menjadi ‘sarang’ ikan sebarau di Sungai Kejar.
Dia yang berasal dari Kulim, Kedah itu juga mahir dengan teknik dan gewang terbaik bagi merealisasikan impian pemancing untuk mendapatkan ‘trofi’ sebarau berstatus badong di sungai berkenaan.
Memulakan cerita, Keciq memaklumkan, biasanya dia menganjurkan trip memancing ke Sungai Kejar selama tiga hari dua malam atau empat hari tiga malam dengan harga antara RM450 hingga RM550 seorang.
Jumlah pemancing dihadkan kepada enam orang memandangkan bot fiber yang digunakan hanya mampu memuatkan seramai lapan orang.
Menariknya, dia turut menggunakan khidmat fishing guide ‘otai’ di Royal Belum iaitu Bukhary yang turut bertanggungjawab menguruskan permohonan permit daripada Perbadanan Taman Negeri Perak.

Menurut Keciq, Bukhary terkenal dengan sikap ringan mulut dan ramah, selain tahu lubuk serta jeram yang menjadi tempat persembunyian sebarau di Sungai Kejar.
Malah, dia merupakan ‘sifu’ kepadanya dalam selok-belok memancing di sana.
Rutin
Biasanya, pemancing akan berkumpul di Jeti Tasik Banding seawal pukul 8 pagi sebelum bergerak menuju ke Basecamp Sungai Kejar yang memakan masa sekitar satu jam 30 minit.
Sebaik sampai di sana, mereka akan memasang khemah dan makan tengah hari terlebih dahulu, sebelum bergerak ke hulu dengan trekking ke lokasi-lokasi yang berpotensi di sepanjang sungai.
Hakikatnya, memburu badong bukanlah semudah disangka. Namun sekiranya tahu lubuk dan jenis gewang yang sesuai digunakan, pemancing pasti tidak akan ‘kumpau’.
Di sinilah peranan fishing guide diperlukan untuk memberi tunjuk ajar dan membantu pemancing memujuk badong keluar dari tempat persembunyiannya.
“Insya-Allah, kalau pemancing ikut tip yang saya dan Bukhary berikan, masih ada harapan untuk mereka dapat badong,” ujarnya dengan yakin.
Kongsi Keciq, badong di Sungai Kejar biasanya mendiami lokasi seperti jeram berbatu besar berair deras dan kawasan bereba kayu atau bangkar pokok mati yang tenggelam.
Senjata
Keadaan air sungai memainkan peranan cukup penting dalam pemilihan gewang untuk memburu badong.
Sekiranya air jernih bak kristal, elak menggunakan gewang berwarna terlalu terang seperti oren, kuning atau chartreuse.
Ini kerana pantulan cahaya di dalam air akan menyebabkan gewang tersebut kelihatan terlalu besar, sekali gus menakutkan badong yang sentiasa berwaspada.
Ketika air jernih juga, pemancing disarankan untuk tidak berada terlalu rapat dengan air.

Ini kerana, mata badong sangat tajam dan mampu mengesan objek yang bergerak di tepi tebing.
Jika air sungai keruh pula, gewang yang digunakan perlulah berwarna gelap kerana ia akan menjadi kontras ketika di dalam air, sekali gus menarik perhatian badong.
Sebagai tambahan, gewang yang mempunyai bebola besi di dalam badannya (rattling) dan sesudu (spoon) berkilat sesuai digunakan ketika air sungai keruh terutamanya selepas hujan.
Untuk memburu badong di kawasan reba, Keciq menyarankan pemancing melontar gewang serapat yang boleh ke tempat bereba itu .
Bagi mengelakkan masalah gewang tersangkut ke reba, seharusnya mata tiga (treble hook) gewang ditukar ke mata kail tunggal (single hook).
Ini kerana, jika gewang tersangkut pada reba, dibimbangi akan mengganggu ‘sarang’ badong, sekali gus menyebabkan ia culas dan cabut lari ke reba-reba lain.
Bagi kawasan jeram, badong biasanya bersembunyi di sebalik batu-batu besar di dalam alur air yang menjadi laluan makanannya berupa ikan-ikan kecil.
Justeru itu, gewang jenis minnow yang mimik anak-anak ikan dipasang mata tiga lebih sesuai digunakan di kawasan ini kerana kurang bereba.
Mainkan gewang secara perlahan supaya pergerakannya menyerupai anak ikan yang cedera.
Senjata
Sementara itu, joran panjang antara enam hingga tujuh kaki berkekuatan antara 10-20lb atau 15-30lb sudah memadai digunakan dan ia diregukan dengan kekili mendatar (baitcaster) dengan nisbah gear yang tinggi seperti ratio 7.0:1 dan ke atas.
Tali utama (mainline) yang disarankan untuk dimasukkan ke dalam gelendung kekili ialah braided berkekuatan antara 30 hingga 40lb dan disambung dengan shock leader 40 atau 50lb bagi menggelak terputus ketika bertarung dengan sebarau bersaiz besar ini.
Mengikut pengalaman Keciq, sebaik badong menghentam gewang, biasanya masa pertarungannya akan berlangsung sekitar dua hingga tiga minit sahaja.
Walaupun kedengaran singkat, tetapi ia memainkan peranan yang kritikal.
Dalam masa tersebut, biasanya pemancing akan menjadi terlalu ghairah sehingga ikan terlepas akibat tali terputus atau mata kail menjadi lurus.
Oleh itu, kunci utama untuk berlawan dengan badong adalah bertenang dan jangan terlalu gelojoh hendak mendaratkannya secepat mungkin.
Biarkan ia memecut terlebih dahulu selagi masih lagi di perimeter yang selamat.
Dengan drag kekili yang diset kuat, kemudian barulah tarik ikan keluar dari zon bahaya (reba).
Apabila ia mula letih, ikan dipam sedikit demi sedikit.
Bagaimanapun, pemancing perlu sentiasa pastikan juga ikan tidak membenam di kawasan bereba atau berbatu bagi mengelakkan ia terlepas.
Keciq memaklumkan, menerusi kaedah tersebut, ada pemancing baru berjinak mengilat gewang di Sungai Kejar mampu menaikkan badong seberat 4.5 kilogram.
Biasanya, badong yang didaratkan akan dilepaskan kembali ke habitatnya bagi menjamin kelangsungan induk supaya ia boleh membiak populasinya.
Hanya ikan yang mahu dijadikan lauk sahaja dibawa pulang ke tapak perkhemahan sebagai juadah untuk dinikmati semua ahli trip.














