KUALA LUMPUR – Perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri bertukar ‘mimpi ngeri’ apabila ramai pengguna lebuh raya terpaksa berdepan kesesakan luar biasa di laluan Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak sejak awal pagi tadi.
Tinjauan di laman Threads mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa gusat apabila perjalanan yang dijangka lancar bertukar sebaliknya, malah ada yang berdepan dilema sama ada untuk meneruskan perjalanan atau berpatah balik.
Seorang pengguna, @Yusof.ysf berkata, dia sudah berada hampir setengah jam di laluan berkenaan namun kesesakan masih tidak menunjukkan tanda reda.
“Dalam dilema nak teruskan atau patah balik. Baru sahaja masuk Karak ni setengah jam. Jauh lagi ni. Waze tipu, katanya jalan tak sesak,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @_Wanzulhasif turut berkongsi rasa kesal apabila membuat keputusan pulang ke kampung dengan memandu bersendirian dari Kuala Lumpur.
“Sumpah pagi ni tiba-tiba rasa menyesal balik Kelantan naik kereta. Dah la memandu sorang-sorang je dari KL, tengok ‘live update’ semalam pun dah jem teruk,” katanya.
Dalam pada itu, situasi tersebut turut mencetuskan persoalan dalam kalangan pengguna lain mengenai waktu sebenar kesesakan bermula, termasuk ada yang terpaksa bersahur di dalam kenderaan.
“Sessudah subuh pun dah berderet ya? Terpaksa sahur dalam kereta nampak gayanya,” katanya @Jokesraya.
Lebih mencabar, ada pengguna yang merancang untuk bersahur di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), namun hasrat tersebut tidak kesampaian akibat terperangkap dalam kesesakan berjam-jam.
“Kami gerak jam 3 pagi konon nak sahur kat R&R. Sekali jem! Pukul 5.30 tak sempat sampai R&R, jadinya berhenti Petronas. Sekali licin rak, roti pun habis. Mujur mi segera cawan ada tinggal sikit,” ujar @Fvtihvh09.
Tambahnya, situasi tersebut jelas menunjukkan ‘penangan’ orang Pantai Timur yang pulang lebih awal untuk menyambut Hari Raya.- KOSMO! ONLINE














