PETALING JAYA – Keadaan trafik dilaporkan sesak teruk ketika ini di Lebuh Raya Pantai Timur 2 ekoran kemalangan membabitkan sebuah lori sejak pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook Lembaga Lebuh Raya Malaysia, kemalangan di KM 281.1 arah utara dari Cheneh ke Cukai itu menyebabkan lorong kanan terhalang.
Kelihatan sebuah lori yang dipercayai membawa muatan guni terbalik di laluan berkenaan, sekali gus menyebabkan kerja-kerja pengalihan dan pembersihan dijalankan pihak berkuasa.
Dalam hantaran di media sosial pula, pengguna lebuh raya berkenaan memuat naik video dan gambar yang memaparkan keadaan trafik sesak sehingga memaksa pemandu berhenti lama di atas jalan, malah ada yang dilihat keluar dari kenderaan sementara menunggu laluan kembali bergerak.
Rata-rata memaklumkan mereka tersekat dalam kesesakan tersebut lebih satu jam untuk pulang ke kampung halaman.
“LPT jem ‘melekat’ yaaa. Ini diambil pukul 12.10 tengah hari,” komen @Therah.lan sambil memuat naik video kesesakan tersebut.
“Saya ‘lekat’ sejam dekat situ tadi,” komen @Szharun.
“Saya duduk kat sini tadi pukul 10.15.. Keluar R&R Perasing pukul 9. Sejam lebih duduk dekat sini je,” komen @Fara_Monor.- KOSMO! ONLINE
View on Threads














