KUALA LUMPUR – Kos menunaikan haji bagi musim 1447H kekal pada kadar RM33,300 meskipun berlaku peningkatan harga minyak dunia, hasil perjanjian sedia ada yang dimeterai dengan syarikat penerbangan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad berkata pihak pengurusan telah pun membuat perbincangan dengan mengambil kira kerangka perjanjian yang ditandatangani bersama kedua-dua syarikat penerbangan, iaitu Malaysia Airlines dan Saudi Airlines.
Menurutnya, persetujuan yang dicapai membolehkan sebarang impak kenaikan harga minyak terhadap kos penerbangan ditangani tanpa menjejaskan kos haji yang telah diumumkan bagi musim ini.
“Kita telah pun mengambil kira peningkatan harga minyak ini di dalam perjanjian sedia ada di mana perjanjian tersebut telah pun mengambil kira sebarang perubahan harga minyak yang akan memberi kesan kepada kos penerbangan.
“Ini (kenaikan kos) kita telah ambil kira, tapi kos haji untuk 1447H kekal pada RM33,300. Tabung Haji juga akan menyerap sebarang kenaikan kos yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman Agihan Keuntungan Tabung Haji 2025, di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, Mustakim tidak menolak kemungkinan kos haji pada masa hadapan mungkin perlu disemak semula sekiranya konflik di Asia Barat.
“Jika konflik di Asia Barat ini berterusan untuk jangka masa yang panjang dan
memberi kesan kepada harga minyak, kos haji di masa hadapan kemungkinan akan disemak semula.
“Ia amat bergantung kepada situasi berapa lama situasi itu berpanjangan tetapi untuk tahun 1447H ia akan kekal pada RM33,300,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, perjanjian dengan kedua-dua syarikat penerbangan tersebut telah dimeterai bagi tempoh tiga tahun, sekali gus membolehkan kos dalam julat tertentu dikunci lebih awal.
Menurutnya, walaupun terdapat klausa tertentu yang membolehkan pelarasan dibuat sekiranya kos penerbangan melepasi paras ambang ditetapkan, pengurusan berhemat yang dilaksanakan setakat ini membolehkan kenaikan tersebut diserap tanpa dipindahkan kepada jemaah.
“Dalam perjanjian itu, kita telah ‘kunci’ harga dalam julat tertentu bagi keseluruhan kos. Memang ada yang memerlukan pelarasan kos penerbangan, tetapi seperti yang disebut, pengurusan berhemat telah mengambil kira perkara itu.
“Untuk tahun ini, jika ada peningkatan kos sekalipun, kita akan serap dan tidak akan memindahkannya kepada jemaah. Bagi jemaah, mereka dijamin tidak akan ada gangguan atau perubahan terhadap kos yang telah diumumkan,” katanya.- KOSMO! ONLINE














