fbpx
Keadaan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki enam sekeluarga yang terlibat kemalangan di simpang tiga Bandar Kota Harmoni, Tanah Merah hari ini. FOTO IHSAN POLIS

Belok simpang terlalu awal punca nenek, cucu maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANAH MERAH – Nahas yang mengorbankan seorang nenek dan cucu di simpang tiga Bandar Kota Harmoni di sini hari ini dipercayai berpunca daripada kereta dinaiki mangsa membelok lebih awal di kawasan simpang tersebut sebelum dirempuh sebuah lagi kereta.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, Wan Rokiah Wan Ahmad, 64 dan cucunya, Nur Zara Zakirah Abdul Aliyy, 14, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala empat lagi ahli keluarga mereka mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, siasatan mendapati, kereta jenis Perodua Myvi dinaiki dua sekeluarga itu sedang dalam perjalanan dari arah Machang menuju ke Bandar Tanah Merah.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta yang merupakan anak perempuan kepada Wan Rokiah dipercayai membelok lebih awal ke simpang kanan untuk memasuki laluan ke Bandar Tanah Merah.

“Pada masa sama, sebuah kereta jenis BMW 5 Series dipandu seorang lelaki yang datang dari arah Jeli menuju ke Machang tidak sempat mengelak.

“Keadaan tersebut menyebabkan kereta tersebut merempuh bahagian sisi kiri Perodua Myvi dinaiki enam sekeluarga yang berada dalam laluannya,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohd. Haki memberitahu, kemalangan itu menyebabkan kereta BMW 5 Series terbabas sebelum terbalik di atas jalan raya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, Wan Rokiah dan Nur Zara Zakirah yang berada di tempat duduk belakang kereta mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu kereta Perodua Myvi berusia 38 tahun bersama bapanya yang merupakan penumpang depan mengalami kecederaan dalaman pada bahagian perut manakala dua lagi penumpang cedera bahagian dalaman dan patah kaki kanan selain tulang pinggul.

“Pemandu kereta BMW 5 Series pula mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala,” ujarnya.

Mohd. Haki berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah di sini untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, hajat enam sekeluarga untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan di simpang tiga Bandar Kota Harmoni di sini hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Tanah Merah, Hamdan Abdullah berkata, kereta dinaiki kedua-dua mangsa dipandu oleh anak kepada Wan Rokiah yang berusia 38 tahun dan mereka dipercayai sedang dalam perjalanan dari Rawang Perdana, Selangor ke Tanah Merah untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN