KUALA LUMPUR – Tindakan jujur seorang pengguna media sosial, Udin Sdmc memulangkan beg berisi wang tunai, jongkong emas seberat lima gram serta dokumen penting kepada pemiliknya meraih pujian ramai.
Kisah itu bermula apabila beliau memuat naik hantaran pada 16 Mac lalu selepas menemui sebuah beg di bawah jejambat yang mengandungi wang, MyKad dan pelbagai dokumen lain.
Sehari kemudian, lelaki berkenaan memaklumkan beg itu telah berjaya dipulangkan kepada pemiliknya dalam keadaan selamat termasuk jongkong emas dan foil emas yang berada di dalamnya.
“Alhamdulillah, saya hanya jalankan amanah… tapi doa baik yang tuan, puan titipkan itu lebih bernilai daripada apa yang saya pulangkan.
“Mungkin ini ujian Tuhan nak tengok saya pilih jujur atau sebaliknya. Mungkin kalau saya ambil dompet itu, saya boleh dapat duit cepat, tapi saya percaya rezeki yang berkat lebih besar nilainya,” katanya.
Perkongsian itu turut dibanjiri komen positif netizen yang memuji sikap amanahnya, malah menyifatkan tindakan tersebut sebagai contoh terbaik dalam masyarakat.
Seorang pengguna, Mohd. Yazied berkata, kejujuran seperti itu wajar dicontohi dan mendoakan agar urusannya dipermudahkan serta dilimpahkan rezeki.
Sementara itu, Ghugan Sivaperumal menyifatkan kisah tersebut memberi pengajaran berharga kepadanya selain memuji tahap integriti tinggi lelaki berkenaan.
Angah Taipan pula berpandangan tindakan lelaki tersebut mencerminkan prinsip tidak mengambil hak orang lain walau berada di depan mata.
Seorang lagi netizen, Yashodhara Bilchemy mengakui tersentuh dengan kejadian berkenaan yang memberi makna besar kepada pemilik beg tersebut.
“Sebak saya tengok adik dengan mak tersebut. Mungkin abang rasa ini hal kecil sahaja, tetapi ia amat bermakna kepada mereka.
“Malaysia sebenarnya penuh dengan ramai orang baik. Semoga negara kita sentiasa dirahmatiNya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














