JEMPOL – Seorang lelaki yang tular menceroboh rumah dan kemudiannya mencuri sehelai seluar dalam wanita minggu lepas didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Bahau di sini semalam.
Tey Wey Peng, 39, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Elizabeth Low. Mahkamah turut menetapkan hukuman sebulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Tertuduh didakwa menceroboh kawasan rumah milik seorang wanita berusia 57 tahun tanpa kebenaran, dengan niat mencuri pada 10 Mac lalu kira-kira pukul 1.32 pagi di Taman Mahsan.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Vesvanathan. – KOSMO! ONLINE














