PUTRAJAYA – Kira-kira 1,957 bas ekspres dan persiaran didapati masih belum membuat pemakluman pengesahan pemasangan peranti had kelajuan (SLD) setakat 16 Mac lalu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli menegaskan, semua pengusaha bas telah diwajibkan dan diberi amaran untuk mematuhi sepenuhnya keperluan pemasangan SLD selaras penguatkuasaan Fasa 1 yang berkuat kuasa mulai 1 Oktober tahun lalu.
“Sehingga 16 Mac ini, terdapat 12 peratus atau sejumlah 305 daripada 2,544 bas ekspres berdaftar yang aktif masih belum melaksanakan pengesahan seperti yang diwajibkan.
“Bagi kategori bas persiaran, sebanyak 49 peratus atau 1,651 daripada 3,371 kenderaan aktif masih belum membuat pemakluman pengesahan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar JPJ bersama Media, di sini semalam.
Beliau berkata, JPJ memandang serius terhadap ketidakpatuhan, khususnya melibatkan bas persiran yang masih mencatatkan peratusan baki yang tinggi, meskipun keperluan pematuhan telah dimaklumkan kepada pengusaha sejak sebelum penguatkuasaan bermula.
Katanya, Ops HRA 2026 akan menumpukan kepada pemeriksaan pengesahan SLD dan pemandu dikehendaki mempamerkan sijil pemgesahan SLD ketika ditahan.
“Sekiranya tidak mempunyai sijil pengesahan SLD, kita akan keluarkan notis 114 terlebih dahulu dan kenderaan perlu dibawa semula ke JPJ dalam tempoh 14 hari untuk pengesahan pemasangan SLD.
“Tindakan lanjut akan diambil jika mereka tidak pasang atau mengesahkan pemasangan SLD,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














