fbpx
Ameera Khan mengakui bapanya sering berasa kecewa dengan pilihan pasangan hidupnya sebelum ini namun tetap memilih untuk mendoakan yang baik-baik dan memberi sokongan.

‘Terlalu bodoh, ayah kecewa dengan pilihan pasangan hidup saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial sensasi, Ameera Khan mengakui bapanya sering berasa kecewa dengan pilihan pasangan hidupnya sebelum ini namun tetap memilih untuk mendoakan yang baik-baik dan memberi sokongan.

Ujar Ameera atau nama sebenarnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 26, orang tuanya itu meletakkan standard sangat tinggi sehingga membuatkan dirinya sedar bahawa banyak keputusan yang dilakukannya sebelum ini adalah kurang bijak.

“Kalau saya ceritakan apa ayah cakap, mungkin ramai terkejut. Cukuplah saya katakan dia selalu kecewa dengan pilihan saya.

“Namun ayah tetap berbuat baik. Insya-Allah saya akan buat pilihan lebih tepat pada masa depan.

“Ayah sudah menetapkan standard sangat tinggi, cuma saya sahaja yang pernah membuat keputusan kurang bijak,” katanya dalam Instagram Story.

Adik kepada selebriti Neelofa itu turut berkongsi pengalaman berada dalam hubungan tidak seimbang apabila dirinya sering memberi lebih daripada pasangan.

“Saya pernah berada dalam situasi itu. Saya merancang banyak perkara, malah menanggung kebanyakan perbelanjaan.

“Saya juga sering meminta maaf walaupun bukan salah saya, membantu pasangan berkembang dan memberi keyakinan, tetapi tidak menerima perkara sama sebagai balasan.

“Saya tidak mahu melalui keadaan itu lagi kerana saya terlalu baik dan terlalu mudah menyayangi seseorang,” ujarnya.

Tambah Ameera, pengalaman tersebut membuka matanya mengenai peranan sebenar seorang lelaki dalam hubungan.

“Bagi saya, peranan lelaki dalam hubungan bukan sekadar memberi nafkah.

“Saya mampu menyara diri sendiri, alhamdulillah. Jadi saya tidak perlukan lelaki semata-mata untuk itu, tetapi tetaplah memanjakan saya kerana saya menyukainya.

“Seorang lelaki sepatutnya membuat pasangan rasa selamat, stabil dan dihargai. Jika perkara itu tiada, jangan sesekali berkompromi,” jelasnya.

Menjawab tuduhan segelintir pihak melabelnya sebagai ‘gold digger’, Ameera menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan dirinya mampu berdikari dari segi kewangan.

“Gold digger menjalin hubungan semata-mata kerana wang lelaki. Alhamdulillah saya ada wang sendiri.

“Gold digger perlukan lelaki membayar semua perkara. Saya mampu bayar keperluan sendiri.

“Gold digger sanggup bertahan walaupun dikhianati asalkan dapat wang. Saya akan pergi walau siapa pun lelaki itu. Saya sendiri bernilai,” tegasnya.

Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dengan ramai menyokong pendiriannya tentang hubungan sihat serta saling menghargai.

Namun terdapat juga segelintir pihak mempertikaikan kenyataan tersebut dan berpendapat setiap hubungan memiliki cabaran tersendiri.

Untuk rekod, Ameera pernah menjalinkan hubungan dengan aktor Indonesia Jefri Nichol, namun percintaan mereka dilaporkan berakhir sekitar Oktober 2021 selepas kedua-duanya saling berhenti mengikuti akaun Instagram masing-masing.

Pada penghujung Mac tahun lalu, pasangan itu dilihat kembali rapat dan terbuka berkongsi momen mesra bersama.

Bagaimanapun, hubungan tersebut didakwa berakhir buat kali kedua sekitar November tahun lalu apabila kedua-duanya sekali lagi saling menyahikut dalam platform media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN