fbpx
Wan Rosdy pada Majlis Penyerahan Baucar Raya MOH BERAYA @ NEGERI PAHANG 2026 di Stadium Titiwangsa, malam tadi. FOTO M. FIRDAUS M. JOHARI

Kerajaan Pahang komited bantu perantau, salur baucar raya bernilai RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 10,000 anak Pahang di perantauan menerima baucar bernilai RM100 bagi pembelian barangan yang akan dikreditkan ke dalam aplikasi e-wallet PahangGo.

Pemberian baucar itu dilaksanakan menerusi Program Baucar Raya “Moh Balik Negeri Pahang” yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, di sini malam semalam yang disempurnakan Menteri Besarnya, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy berkata, sebanyak  RM1 juta dana diperuntukkan bagi program yang memasuki edisi ketiga sejak mula diperkenalkan pada 2024 itu.

Wan Rosdy

Jelasnya, program itu merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri bagi membantu anak-anak Pahang di perantauan pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman.

“Alhamdulilah, pendapatan Kerajaan Negeri Pahang tahun ini agak baik dan kita dapat meneruskan lagi program ini untuk kali ketiga berturut-turut.

“Saya berharap inisiatif ini dapat membantu mereka pulang beraya bersama keluarga dan mengeratkan hubungan dengan negeri Pahang Darul Makmur,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Wan Rosdy berkata, pada 2024 dan 2025, kerajaan negeri memberi baucar petrol dan diesel RM50 untuk 5,000 penerima. Bagaimanapun tahun ini, pelaksanaan program dipertingkatkan dengan pemberian baucar menerusi PahangGo.

“Nilai baucar dinaikkan kepada RM100 seorang, manakala jumlah penerima meningkat kepada 10,000 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 2,000 penerima menerima baucar pada majlis malam ini di Kuala Lumpur.

“Baki 8,000 penerima lagi akan menerima baucar melalui penyerahan oleh kepimpinan negeri di kampung halaman masing-masing di Pahang,” ujarnya.

Wan Rosdy berkata, program itu mendapat sambutan luar biasa dengan 77,452 permohonan diterima dalam tempoh tujuh hari sejak permohonan dibuka.

Pemilihan penerima dilakukan secara teliti oleh Sekretariat Perantau Anak Pahang bagi memastikan pengagihan dibuat secara adil selain mengelakkan pertindihan.

“Kita juga menubuhkan Sekretariat Perantau Anak Pahang pada 2024 sebagai jambatan penghubung antara kerajaan negeri dan anak-anak Pahang di perantauan.

“Melalui sekretariat ini pelbagai program dilaksanakan seperti Larian Tok Gajah, baucar raya dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perantau Anak Pahang,”ujarnya.

Sementara itu, seorang penerima baucar, Shukri Mohd Dewan, 52, berkata, dengan adanya inisiatif tersebut, dia dapat menampung perbelanjaan untuk pulang ke kampungnya di Rompin.

“Terima kasih Kerajaan Pahang dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa prihatin dengan anak Pahang di perantauan.

“Ringan sedikit beban kami untuk pulang beraya di kampung halaman. Saya akan menggunakan baucar ini untuk membeli barangan keperluan dapur sebagai persiapan untuk raya nanti,”ujarnya.

Aqilah dan Aliana

Dalam pada itu, bagi pekerja swasta, Aqilah Abdul Khalid, 24, berkata, inisiatif baucar tersebut tepat pada masanya memandangkan dia baru bekerja di sebuah syarikat di Shah Alam.

Jelasnya, baucar tersebut akan digunakan untuk bayaran bil dan parkir ketika pulang ke kampung di Jengka 22 pada hujung minggu ini.

“Seronok sebab pertama kali memohon, terus dapat (diluluskan). Tambahan pula saya baru bekerja, jadi baucer ini sangat membantu. Hanya dengan menggunakan PahangGo kami boleh membeli barangan dan membuat pembayaran dengan mudah secara dalam talian,” katanya.

Turut berterima kasih atas inisiatif tersebut adalah Aliana Syakira, 24, yang menetap di Cheras.

“Terima kasih Kerajaan Pahang dan Menteri Besar atas sumbangan ini. Sebagai anak jati Pahang, saya amat menghargainya. Saya harap inisiatif ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan memberi manfaat kepada lebih ramai anak Pahang,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI