fbpx
AHMAD ZAHID

Bantuan tanam semula getah naik RM23,000 sehektar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju menaikkan kadar Bantuan Tanam Semula Getah kepada RM23,000 bagi setiap hektar iaitu peningkatan sebanyak RM8,915 atau 55 peratus berbanding kadar sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut diambil bagi memperkukuh sektor pekebun kecil serta memastikan kebajikan dan masa depan golongan berkenaan terus terbela.

Menurut beliau, bantuan tersebut disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang berperanan sebagai agensi pelaksana.

“Bagi saya, pekebun kecil merupakan antara wira sebenar negara kerana mereka bangun seawal pagi untuk menoreh getah dan mengusahakan tanah dengan penuh kesabaran demi memastikan keluarga terus mempunyai sumber rezeki.

“Atas sebab itulah kerajaan akan terus memastikan kebajikan serta masa depan komuniti pekebun kecil sentiasa terbela,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Program Kemakmuran Pekebun Kecil RISDA Negeri Sarawak di Kampung Niup, di Kota Samarahan, Sarawak semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pertemuan bersama masyarakat kampung dan pekebun kecil pada sepuluh malam terakhir Ramadan memberi makna tersendiri kepadanya.

Pada majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri KKDW merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang atas usaha menyantuni masyarakat di kawasan berkenaan.

“Terima kasih juga kepada Risda selaku agensi pelaksana serta seluruh pekebun kecil yang hadir memeriahkan program ini.

“Semoga silaturahim yang terjalin ini terus berkekalan dan saya amat menghargai sambutan penuh kemesraan daripada rakyat Sarawak,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI