KUALA LUMPUR – Seramai 191,832 penagih dadah direkodkan dan menerima rawatan di seluruh negara sepanjang tahun 2025, menurun sedikit berbanding 192,857 kes yang dicatatkan pada tahun 2024.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, penurunan itu hanyalah sekitar 0.5 peratus dan tidak boleh dijadikan alasan untuk berasa selesa dalam usaha membanteras masalah penagihan dadah.
“Berdasarkan statistik AADK, bagi tahun 2025 tiada kes penagih melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun direkodkan berbanding tiga kes pada tahun 2024.
“Bagi kategori remaja berusia 13 hingga 18 tahun, jumlah penagih menurun kepada 1,213 orang berbanding 1,255 orang pada tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di sini, malam tadi.
Menurut beliau, bagi kategori belia berusia 19 hingga 39 tahun, seramai 112,632 penagih direkodkan pada 2025 berbanding 116,254 orang pada tahun 2024.
“Namun bagi golongan dewasa berusia 40 hingga 59 tahun, jumlah penagih meningkat kepada 72,590 orang berbanding 70,188 orang pada tahun sebelumnya.
“Begitu juga bagi kategori warga emas berusia 60 tahun ke atas yang meningkat kepada 5,397 orang berbanding 5,166 orang pada tahun 2024,” ujarnya.
Ruslin berkata, statistik tersebut menunjukkan masalah penagihan dadah masih memerlukan perhatian serius dan pendekatan pencegahan yang lebih menyeluruh melibatkan semua lapisan masyarakat.
“Walaupun ada sedikit penurunan, program pencegahan perlu berada pada tahap maksimum dan dilaksanakan secara menyeluruh.
“Masalah dadah bukan hanya tanggungjawab AADK atau kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan peranan semua pihak termasuk masyarakat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














