TAPAH – Rakyat negeri ini khususnya dinasihatkan tidak melakukan pembelian panik kerana khuatir isu bekalan dan peningkatan harga barangan ekoran ketidaktentuan geopolitik global kini kerana konflik Asia Barat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, rantaian bekalan makanan serta harga barangan terutama keperluan asas masih stabil di negeri ini.
“Kita akan kawal sebaik yang mungkin dan harga-harga barangan yang telah ditetapkan tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya oleh pemborong dan peniaga secara sesuka hati.
“Sebenarnya tidak perlu melakukan pembelian panik kerana sebenarnya kita beli mengikut keperluan. Nak simpan sedikit sebanyak itu tiada masalah, tapi janganlah terlalu panik dengan keadaan ini (konflik Asia Barat),” katanya kepada pemberita pada sidang media di Arena Mumtaz, Sekolah Kebangsaan Kampong Pahang di Chenderiang, Tapah hari ini.
Beliau terdahulu merasmikan Program Jelajah Sejahtera Desaku @ DUN Chenderiang yang dihadiri lebih 1,000 pengunjung yang dapat membeli pelbagai harga barangan keperluan asas yang secara relatifnya lebih murah berbanding dalam pasaran. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng dan ADUN Ayer Kunung, Dr. Mohamad Yusri Bakir.
Katanya lagi, pembelian panik turut mendorong peniaga dan pemborong mengambil kesempatan menaikkan harga dengan menyorokkan bekalan dengan alasan ketiadaan stok. – KOSMO! ONLINE














