fbpx
Gambar kenangan keluarga Allahyarham Siti Aisyah (tengah) ketika yang rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Guar Kepayang, petang semalam.

‘Emak selalu cakap dia nak meninggal hari Jumaat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Suami kepada wanita yang rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Guar Kepayang, Kepala Batas di sini, petang semalam dikatakan berkali-kali cuba menarik mangsa keluar dari bilik tidur mereka tetapi gagal.

Anak ketiga Allahyarham Siti Aisyah Ahamad, 58, Mohammad Nazrul Nizam, 35, berkata, bapanya, Yacob Aziz, 66, berusaha menyelamatkan ibunya yang terperangkap dalam kebakaran tetapi api marak terlalu cepat dari bilik tepi, dapur dan bilik tidur wanita tersebut.

Katanya, dia tidak menyangka ibunya pergi dalam keadaan menyayat hati lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir Ramadan.
“Semasa kejadian, saya berada di rumah yang terletak tidak jauh dari rumah emak. Saya dimaklumkan kejadian tersebut daripada rakan dan segera bergegas ke sini.

Lokasi (dalam bulatan) mangsa ditemukan rentung dalam kebakaran rumahnya dk Kampung Guar Kepayang, petang semalam.

“Sebaik sampai, ayah dan abang dibawa ke hospital kerana melecur, manakala emak pula dijumpai dalam keadaan menyayat hari dengan badan dan mukanya ditimpa kayu.

“Saya dimaklumkan, ayah berkali-kali masuk dan keluar rumah untuk menarik ibu tetapi tidak berjaya sebab api terlalu marak. Abang pula selamatkan anak saudara berusia lapan tahun yang ketika itu berada di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Mohammad Nazrul berkata, rumah tersebut dihuni ibu bapanya bersama lima adik beradik lain. Semasa kejadian, hanya ibu bapa, abang kedua dan anak saudara ibunya yang dijaga sejak kecil berada di dalam rumah tersebut.

“Saya reda dengan apa yang berlaku. Memang emak selalu cakap dia nak meninggal pada hari Jumaat. Apa yang dia cakap, jadi kenyataan,” katanya yang memberitahu jenazah ibunya berada di Hospital Kepala Batas.

Dia berkata, ibunya bukan orang kurang upaya (OKU) cuma mengalami sakit lutut dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat. Jenazah ibunya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tuan Samad, Permatang Sungai Dua.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita ditemukan rentung dipercayai gagal menyelamatkan diri dalam satu kejadian kebakaran, kira-kira pukul 4.55 petang semalam.

Mayat wanita tersebut dijumpai di bilik tidurnya, pada pukul 5.55 petang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN