PEMAIN pertahanan kelahiran Sepanyol, Gabriel Palmero terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat Kuching City selepas hukuman penggantungan susulan isu pemalsuan dokumen dikekalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada minggu lalu.
Sebagai rekod, CAS mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas Palmero dan enam lagi pemain yang didakwa memiliki darah warisan Malaysia dengan semua pemain terbabit hanya dibenarkan beraksi secara kompetitif seawal November depan.
Meskipun dibenarkan menjalani aktiviti bola sepak termasuk berlatih bersama pasukan masing-masing, Palmero sudah mengucapkan selamat maju jaya buat The Cats bagi mengharungi aksi Liga Super menentang Penang FC, malam ini.
Kata Palmero, pengalaman beraksi secara singkat bersama kelab Borneo sejak penangguhan sementara pada bulan lalu akan kekal berada dalam ingatannya.
“Terima kasih atas segalanya. Sejak saya mula bermain (bersama Kuching City), saya rasa selesa dan ia satu pengalaman yang bagus.
“Saya ucapkan selamat berjaya buat pasukan dan semua penyokong yang sentiasa bersama saya. Terima kasih atas segalanya,” kata pemain berusia 24 tahun yang dijangka kembali ke Sepanyol.
Presiden Kuching City, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman sebelum ini mengesahkan pihaknya sedia menerima kembali Palmero dengan tangan terbuka selepas tempoh penggantungannya berakhir nanti.
“Risiko itu memang telah kita bincang dan apabila perkara itu (penggantungan) dikekalkan, kita telah bincang dengan beliau (Gabriel) dan dia juga faham.
“Saya juga menasihati beliau agar kekal dengan latihan kerana tempoh 12 bulan itu bukan satu tempoh yang lama, sekejap sahaja. Kita juga sentiasa terbuka untuk menerima beliau apabila habis tempoh penggantungan,” katanya.














