MADRID – Barisan pemain Real Madrid mula resah dengan spekulasi mengenai kepulangan Jose Mourinho yang bakal menjadi pengendali baharu pasukan selepas menjadi pilihan No. 1 presiden kelab, Florentino Perez.
Menurut laporan, pengurusan The Galacticos sedang mempertimbangkan potensi untuk memecat jurulatih semasa, Alvaro Arbeloa selepas gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan sekali gus gagal membantu pasukan menjulang sebarang trofi musim ini.
Susulan itu, Mourinho yang pernah mengendalikan Real dari 2010 hingga 2013 dilaporkan menjadi pilihan Perez kerana jurulatih itu memiliki pengalaman dan kualiti menguruskan pasukan gergasi.
Bagaimanapun, situasi dalam bilik persalinan Real dilihat tidak memihak kepada jurulatih berpengalaman dari Portugal itu apabila ramai pemain lebih cenderung untuk menyambut kehadiran bekas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.
Menurut sumber rapat kelab, pemain menganggap Klopp pilihan lebih ideal berbanding Mourinho yang dilihat sebagai individu egois dan berpotensi mencetuskan konflik dalam skuad.
“Mourinho ibarat ‘bom jangka’. Memandangkan pasukan ini memiliki personaliti pemain yang berbeza, dia boleh memecahkan keharmonian pasukan.
“Perez pula mengakui Klopp lebih digemari pemain, tetapi kehadiran Mourinho mampu mencetuskan impak besar dan membuat penyokong yang terdesak untuk melihat pasukan kembali mengecapi kejayaan dalam masa singkat,” katanya.
Dalam masa sama, Klopp dilaporkan belum berminat kembali untuk menerima tawaran Real kerana menunggu kekosongan jawatan pengendali skuad kebangsaan Jerman yang ketika ini dibimbing oleh Julian Nagelsmann. – AGENSI














