JOHOR BAHRU – Seorang juruteknik dihukum penjara 18 tahun dan dikenakan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 tuduhan memperdagang bayi, melakukan amang seksual fizikal dan merakam video dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Imran Abdullah, 30, mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan itu yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd. Zamir Suhaimee, Hakim Madihah Zainol dan Hakim Nor Aziati Jaafar.
Mengikut tiga pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memperdagang dua bayi perempuan berusia lima hari dan seorang bayi lelaki tujuh bulan bagi maksud eksploitasi yang menyalahi undang-undang di Taman Melor, Tampoi, Taman Kota Masai dan Taman Scientex, Pasir Gudang.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 9 malam, 11 Mac hingga 12 tengah hari, 24 November 2024. Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Bagi empat pertuduhan lain, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas tiga kanak-kanak perempuan berusia lima hingga tujuh tahun ketika kejadian mengikut 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Muhammad Imran turut berdepan tiga lagi tuduhan iaitu menghasilkan bahan penganiayaan seksual dengan cara merakam video tiga mangsa sama mengikut Seksyen 5 akta sama di dalam bilik tidur dan tepi rumah di sebuah kampung di Pasir Gudang pada pukul 10.30 hingga 11 pagi, 5 April 2024.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir, Nor Fadilah Johanuddin dan Nur Farah Wahida Shahudin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Imran Mohamed Sam dan Haziq Ishak.
Dalam prosiding rayuan, tertuduh merayu hukuman ringan kerana meanggung tiga anak yang masih kecil selain ibu bapanya yang sakit. Dia juka mengaku sudah menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya.
Bagaimanapun ketiga-tiga hakim dalam hujah mereka berkata, kepentingan awam diutamakan melebihi kepentingan peribadi selain kesan trauma mangsa yang masih kecil dan menetapkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah berat.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada 19 Julai 2025 selain 24 sebatan. Tertuduh turut diarahkan menjalani kaunseling pemulihan dan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan. – KOSMO! ONLINE














