PUTRAJAYA – Kumpulan penjawat awam yang memiliki kediaman di atas tanah seperti rumah teres dan kampung digalak untuk memulakan inisiatif menanam sayur di rumah sebagai langkah persediaan sekiranya konflik di Asia Barat kekal berterusan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan, inisiatif digalakkan melibatkan penanaman sayur yang mudah dituai seperti cili, terung dan kucai.
“Kita saran jika ada yang berminat boleh mula program itu seperti Kempen Buku Hijau di zaman Allahyarham Tun Abdul Razak dulu sebab kita tidak tahu krisis antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran akan tamat,” katanya pada sidang akhbar khas di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohamad turut berharap agar konflik itu dapat diselesaikan segera dan tidak berlaku perkara tidak diingini melibatkan hal bekalan makanan negara.
“Buat masa ini, sambutlah Hari Raya dengan biasa, insya-Allah makanan semuanya cukup dan terjamin bekalannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














