GUA MUSANG – Seorang pekerja kebun sayur warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di tepi Jalan Lojing Lama dekat sini pada hujung bulan lalu.
Tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh, LI Thein Tay, 51, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di dalam Bahasa Melayu di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Pengakuan tidak direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang lelaki warga Myanmar yang dikenali sebagai Bjay.
Perbuatan itu dilakukan di tepi Jalan Lojing Lama, Pos Brooke di sini kira-kira pukul 10.30 malam pada 27 Februari hingga pukul 1 pagi pada 28 Februari lalu.
Thein Tay didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan minimum 12 sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Mac depan untuk sebutan semula kes dan lantikan jurubahasa.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, mayat seorang lelaki dipercayai warga asing ditemukan dalam keadaan terbaring dengan kesan tusukan pada bahagian dada kiri, di tepi Jalan Lama Lojing, Pos Brooke, di sini pada 28 Februari lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Azlan Che Abdullah berkata, pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang menerima panggilan telefon kira-kira pukul 4.35 pagi daripada anggota bertugas di Pondok Polis Lojing yang memaklumkan penemuan mayat tersebut.
Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, mangsa merupakan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang masih belum dapat dikenal pasti identitinya. – KOSMO! ONLINE














