SEREMBAN – Umat Islam di negara ini dinasihatkan untuk tidak berspekulasi berhubung tarikh sebenar 1 Syawal dan diminta untuk menanti pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam 19 Mac nanti.
Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin berkata, merujuk kepada desas-desus 1 Syawal di negara ini yang dikatakan jatuh pada hari Jumaat adalah tidak benar.
“Data yang diperolehi daripada kaedah hisab tidak menyokong desas-desus itu. Data hilal bagi 1 Syawal 1447H menunjukkan bahawa kedudukan hilal pada hari ke-29 Ramadan tahun ini, yakni hari cerapan anak bulan, berada pada ketinggian 2° 42” dan elongasi 5° 17”.
“Umur hilal hari itu dalam lingkungan 10 jam 29 minit. Jangka tempoh hilal itu boleh dicerap pula lebih kurang 15 minit sahaja selepas matahari terbenam.
“Berdasarkan data semasa diperolehi melalui kaedah hisab, hilal Syawal 1447H tidak memenuhi syarat kriteria imkan al-ru’yah yang diguna pakai di Malaysia.
“Sebagai perbandingan, data hilal Syawal 1447H lebih rendah daripada hilal Syawal 1443H ketika terjadinya ‘raya mengejut’ pada 2022,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Justeru itu, beliau menasihatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan desas desus tersebut selain menunggu hasil cerapan hilal pada 19 Mac ini serta pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsikan kaedah penentuan tarikh 1 Syawal yang digunakan di negara ini melalui dua kaedah iaitu rukyah dan hisab.
“Kaedah rukyah atau mencerap hilal (anak bulan) dilaksanakan di 29 lokasi cerapan rasmi yang telah ditentukan di seluruh negara oleh Jawatankuasa Rukyah negeri yang dilantik.
“Kaedah hisab atau hitungan astronomi pula adalah bertujuan untuk mengenal pasti kedudukan hilal pada hari ke-29 Ramadan sama ada boleh kelihatan atau tidak,” katanya.
Menurut beliau, melalui pendekatan hisab berkenaan, kriteria imkan al-ru’yah menjadi panduan untuk mengesahkan sama ada hilal tersebut boleh kelihatan atau tidak berdasarkan dua syarat iaitu kedudukan ketinggian hilal berada sekurang-kurangnya pada ketinggian 3° dan elongasi hilal ke matahari pula berada sekurang-kurangnya pada kedudukan 6° 49″.
“Dua syarat ini perlu dipenuhi bagi membolehkan hilal dikatakan berada pada kedudukan yang boleh dilihat. Dalam mengaplikasikan dua kaedah itu, Malaysia memberi keutamaan terhadap hasil cerapan rukyah untuk menentukan kenampakan hilal.
“Sekiranya kaedah rukyah tidak berhasil, kaedah hisab digunakan untuk mengenal pasti sama ada hilal berada pada kedudukan yang memenuhi syarat yang membolehkan hilal kelihatan atau sebaliknya,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














