BERGAMO – Bayern Munich sudah selangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) selepas membelasah Atalanta 6-1 pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik di Stadium Gewiss awal pagi semalam.
Dua gol Michael Olise selain masing-masing satu gol menerusi Josip Stanisic, Serge Gnabry, Nicolas Jackson dan Jamal Musiala memastikan kemenangan besar Bayern, manakala gol tuan rumah dijaringkan Mario Pasalic.
Jurulatih Bayern, Vincent Kompany mengakui berpuas hati dengan kemenangan itu selain menganggap mereka sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol sekiranya jentera serangan lebih tajam ketika di depan gawang lawan.
“Sudah tentu saya sangat gembira dan berpuas hati kerana inilah corak permainan yang dimahukan daripada pemain-pemain saya. Perancangan kami berjaya hari ini (semalam) dan sepatutnya dapat menjaringkan lagi dua gol.
“Kami memiliki ramai pemain berbakat dalam pasukan ini dan mereka sangat sukakan perlawanan-perlawanan besar. Oleh itu, saya tidak terkejut mereka dapat bermain seperti ini,” katanya.
Sementara itu, beliau juga enggan menekan butang panik selepas beberapa pemain utama seperti Alphonso Davies, Jamal Musiala dan Jonas Urbig berdepan kecederaan ketika beraksi pada perlawanan tersebut.
“Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai kecederaan kerana apa yang penting adalah kami perlu mengekalkan momentum. Phonzy (Davies) mungkin perlu berehat lama tetapi tidak ada masalah untuk kami,” ujar Kompany. – AGENSI














