SUNGAI Sepang Besar di Bagan Lalang, Selangor merupakan antara lokasi memancing laut yang dekat dengan Lembah Klang.
Oleh kerana untuk menyampaikan ke lokasi ini tidak memakan masa yang lama, ramai pemancing gemar turun ke sana sama ada menyewa bot untuk keluar memancing ke laut lepas atau sekadar memancing di dalam muara.
Bagi saya pula lebih memilih untuk lepak bersama rakan-rakan sehobi dan antara banyak-banyak rumah jeti di sepanjang Sungai Sepang Besar, saya lebih suka pergi ke ‘Istana Sangkut’ milik sahabat baik saya Ruzairy Arbi.
Istana Sangkut
Rumah jetinya walaupun kelihatan seperti rumah ‘Do Re Mi’ dalam salah satu filem klasik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, tetapi ia dilengkapi dengan elektrik, air bersih, beberapa bilik istirahat, dua dapur memasak, dua tandas dan ada alat penghawa dingin.
Selain dijadikan tempat parkir dua buah bot, terdapat dua beranda yang kebiasaannya menjadi tempat memancing.
Pelbagai jenis ikan boleh dipancing dari beranda tersebut seperti gelama, sembilang, gerut-gerut, belanak, duri, kerapu, tetanda dan siakap putih.
Antara spesies ikan tadi, saya lebih gemar target ikan tarpon atau dalam kalangan masyarakat kita dipanggil ikan bulan. Sebabnya mudah, saiznya kasar jika dipancing dari rumah jeti bersyaratkan kena pada masa dan arus yang bersesuaian.
Masa dan arus
Bertahun-tahun memancing dari Istana Sangkut ini saya dapati bukannya setiap hari kumpulan ikan tarpon ini akan bermain di hadapan rumah jeti ini. Ada hari dan waktu tertentu yang biasanya ia ada.
Biasanya jika di laut ialah air mati (neap tide) merupakan waktu paling ideal untuk memancing kumpulan ikan tarpon dari rumah jeti.
Pancingan ikan tarpon ini pun ditemui oleh Ruzairy secara tidak sengaja apabila dia kebosanan memancing di bawah jetinya, lalu mencuba melemparkan umpan udang menggunakan pelampung jauh ke tengah sungai ketika air lenang tersebut.
Secara tiba-tiba pelampungnya hilang tenggelam, namun ikannya lucut setelah disembat.
Kejadian ini berlaku banyak kali dan setelah dia melakukan beberapa perubahan pada persembahan umpannya itu, baharulah ikan lekat dan alangkah terperanjatnya kerana rupanya ia angkara ikan bulan dan saiznya betul-betul kasar.
Dia juga mendapati kumpulan tarpon itu hanya ada pada waktu malam sahaja dan ia tidak menunjukkan dirinya dengan bermain air secara aktif.
Permukaan air sungai akan kelihatan tenang sahaja tanpa ada apa-apa riak pun.
Kumpulan ikan tarpon ini juga tidak berlegar rapat dengan tebing, mungkin ia merasa culas dengan cahaya lampu dan suasana bising di sepanjang tebing sungai yang dipenuhi rumah jeti dan kelong memancing.
Peralatan
Setelah melakukan beberapa percubaan untuk mencari kaedah yang terbaik untuk menangani kumpulan tarpon ini, kami telah mendapati bahawa joran yang panjang lebih dari tujuh kaki, kelas sederhana antara 8-17lb atau 10-20lb adalah paling sesuai digunakan.
Joran ini dipadankan dengan kekili mendatar saiz antara 2000 hingga 3000 yang diisi tali utama braided antara lapan hingga 15 paun (lb). Saya kurang gemar menggunakan perambut serap kejutan (shock leader) kerana mengganggu proses lontaran pelampung.
Jadi, saya akan mengikat terus satu swivel berklip di hujung tali utama yang akan disematkan satu pelampung yang berat dengan ada satu slot untuk dimasukkan batang pendar cahaya (luminous stick).
Pelampung ini akan diikat pula satu perambut fluorocarbon berkekuatan antara 20 hingga 30lb sepanjang antara sekaki hingga dua kaki dan di hujungnya pula diikat secara serangkai dua mata kail jenis Chinu yang berteras halus.
Umpan terbaik sudah pasti seekor udang hidup kerana ikan tarpon di sini terkenal amat memilih, ia kurang bernafsu untuk menerkam umpan udang yang sudah mati.

Sebab itulah kami harus selalu menukar umpan udang hidup yang lain setiap kali terlepas terkamannya, walaupun umpan tersebut masih ada lagi di mata kail kerana ia sudah pun lemah.
Mata kail wajib jenis halus dan tajam, tetapi kuat supaya dapat menikam dengan baik mulut ikan tarpon yang keras itu dan perlu diikat dua kerana ikan ini kuat menggetu umpan dan selalu terlepas jika hanya satu mata kail yang digunakan.
Pelampung dengan umpan udang hidup tadi akan dilempar jauh ke tengah sungai di perimeter melepasi cahaya lampu rumah jeti. Kumpulan ikan tarpon lebih gemar berlegar di kawasan yang gelap.
Sebaik pelampung mencecah air, tali tidak dibiarkan kendur kerana perlu pantas menyentap joran setiap kali melihat lampu luminous itu hilang saat pelampung tenggelam kerana ikan membawa lari umpan udang.
Sambaran ikan tarpon boleh menjadi bertubi-tubi jika kumpulannya ada di hadapan rumah jeti. Ia hanya menjadi culas jika terlalu kerap terlepas, namun akan hadir semula menyambar umpan jika dibiarkan bertenang buat seketika.
Perlawanan dengan ikan tarpon ini sememangnya mencemaskan kerana saiznya kasar, ia kuat membenam dan selalu melakukan lompatan yang akhirnya membuatkan mata kail terlepas dari mulutnya.
Sebab itulah dalam 10 kali kena ikan ini belum tentu separuh daripada itu yang dapat dinaikkan, tetapi itulah keseronokannya.
Mengilat gewang
Ikan tarpon diketahui sudi mengambil gewang, terutamanya jika ia bersaiz mikro kerana ia menyerupai dietnya yang berupa ikan dan udang kecil.
Jadi, saya selalu juga mencuba mengilat ikan ini dengan gewang, namun ia langsung tidak peduli walaupun pelbagai jenis gewang pernah disuakan seperti popper, pencil, minnow, micro jig dan spinfly.
Berkemungkinan waktu malam yang gelap menyebabkan kehadiran gewang tidak disedarinya ataupun jarak yang jauh membuatkan gewang-gewang bersaiz micro ini tidak terjangkau untuk sampai ke lokasi ia bermain.
Satu faktor lagi, memainkan gewang dari beranda yang sempit dengan rakan-rakan lain yang sedang menggunakan pelampung dan umpan pasti membuatkan suasana kelam-kabut dengan tali bersilang dan bermacam hal lagi.
Pendekatan terbaik, tinggalkan gewang dan bersama-sama santai layan memancing tarpon dengan umpan bersama-sama rakan-rakan lain sambil makan biskut dan menghirup kopi O panas.














