KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa melaksanakan semakan kadar bantuan kewangan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan semasa serta membantu meringankan beban kos sara hidup.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan bagi membantu kelangsungan hidup kumpulan sasar yang layak dan memerlukan.
Beliau berkata, bantuan tersebut bersifat sementara sehingga penerima mampu berdikari dan menjalani kehidupan secara lebih stabil.
“Bagi OKU yang tidak berupaya bekerja, JKM menyediakan Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) kepada OKU yang berumur 16 tahun
tahun ke atas.
“Kadar bantuan BTB ini telah disemak dan dinaikkan beberapa kali, dengan kadar bantuan terkini adalah sebanyak RM300 sebulan mengikut syarat dan kelayakan yang ditetapkan,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator D.J Isaiah berkenaan adakah kerajaan merancang untuk menaikkan kadar elaun bulanan kepada OKU yang tidak bekerja dan langkah-langkah yang diambil bagi meningkatkan kadar elaun kepada pelajar-pelajar pendidikan khas.
Mengulas lanjut Hui Ying berkata, bagi OKU yang bekerja, kerajaan turut menyediakan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) sebanyak RM450 sebulan.
“Elaun ini diberikan kepada OKU yang berpendapatan bulanan minimum RM100 sehingga RM1,700 sebulan sebagai insentif kepada mereka agar terus bekerja, mampu berdikari dan produktif.
“Insentif dan bantuan kerajaan kepada rakyat bukan hanya terhad dan disalurkan menerusi JKM sahaja, malah boleh turut disalurkan menerusi pelbagai agensi Kerajaan yang lain seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), BUDI Madani dan sebagainya,” katanya.
Katanya, OKU yang menerima bantuan BTB masih boleh mendapat akses kepada bantuan-bantuan lain yang disediakan oleh kerajaan mengikut kelayakan yang ditetapkan.
“Sementara itu, Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) yang telah mula diperkenalkan pada tahun 2005 oleh Kementerian Pendidikan turut melalui proses semakan dari semasa ke semasa seperti mana bantuan atau insentif kewangan lain yang disediakan oleh Kerajaan.
“Pada masa ini, kadar EMBPK yang diberikan adalah RM150 sebulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














